Saya, Izzah dan Dematokong


Oleh: Zunar
Diari Reformasi: Telah banyak yang diketahui dan ditulis mengenai Nurul Izzah (sepanjang era Reformasi). Tetapi yang saya nak cerita ini adalah kisah yang jarang didengar dan dari POV (Point of View) saya sendiri. Anwar ditangkap pada September 1998, dan pada Disember tahun yang sama, bulan puasa tiba. Ketika itu selalu diadakan program ceramah dan pertemuan, tetapi saya belum berkesempatan bertemu keluarga Anwar. Raya Aidilfitri tahun itu disambut pada Januari tahun berikutnya (19 Januari).
Seminggu sebelum raya, saya mengalami sakit yang teruk, iaitu demam, batuk kong-kong dan sakit kerongkong (dematokong). Sakitnya sangat teruk sehingga saya terbaring saja di rumah selama dua minggu. Malah saya tidak boleh bercakap pun kerana setiap kali bercakap, saya akan terbatuk, dan sekali batuk ia akan berterusan agak lama. Tahun itu, saya tak balik kampung di Kilang Kechik, Kedah kerana tidak ada wang.
Saya mendapat tahu daripada kawan-kawan - Nazri, Zaiton dan Nasir/Ramlah, bahawa Wan Azizah dan Nurul Izzah dijadualkan akan berada di majlis sambutan Hari Raya di markas ABIM di SURADA (Sungai Ramal Dalam). Ini peluang saya untuk bertemu Nurul Izzah. Walaupun batuk, saya tidak akan melepaskan peluang ini dan tetap akan pergi. Nasir dan isteri beliau, Ramlah datang mengambil saya di rumah di Taman Melati.
Sebaik saja sampai di SURADA, alangkah gembiranya dapat bertemu Nurul Izzah yang ketika itu dijuluki dengan nama Puteri Reformasi. Inilah pertama kali saya dapat bertemu keluarga Anwar. Gembiranya tidak terhingga, habis hilang segala demam, batuk dan sakit kerongkong.
Semuanya hilang lenyap tak datang dah! Sejak itu, perkenalan saya dengan Izzah menjadi rapat dan dialah yang meluncurkan buku pertama saya Dari Kerana Mata pada akhir Januari 1999 di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. Dan juga banyak membantu meluncur dan mempromosi buku-buku saya yang lainnya. Terima kasih.




Comments