top of page

SEKPUR lapor polis dokumen berkaitan pembayaran denda Najib tular di media sosial

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
4 hours ago
2 min read
Mejar (B) Razali membuat laporan di Balai Polis Chow Kit
Mejar (B) Razali membuat laporan di Balai Polis Chow Kit

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ketulenan dokumen yang tular di media sosial berkaitan status hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Setiausaha Agung SEKPUR, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, pihaknya membuat laporan polis bertujuan memohon semakan dan siasatan terhadap imej dokumen yang dikaitkan dengan isu tersebut.


Beliau berkata, dokumen bertajuk Order or Discharge, Payment or Fine yang dikongsikan menerusi satu hantaran Facebook oleh seorang peguam itu, menimbulkan tanda tanya berhubung status sebenar pelaksanaan hukuman terhadap Najib.


"Antara perkara yang dipersoalkan dalam hantaran itu ialah penggunaan bahasa bercampur, penamaan mahkamah, ketidakseragaman penulisan nama individu serta kesilapan ejaan dan jarak perkataan.


"Hantaran itu turut mencadangkan supaya pihak-pihak berkaitan mendapatkan penyelesaian di mahkamah.


"Berdasarkan imej yang dipaparkan, dokumen berkenaan kelihatan mengandungi rujukan kepada pembayaran denda RM50 juta, pelepasan daripada penjara dan pelaksanaan baki hukuman secara tahanan di rumah," katanya berdasarkan salinan laporan polis yang dilihat Suara Keadilan.


Razali bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai dokumen asal atau salinan yang diperakui sah, justeru ketulenan dokumen itu tidak dapat disahkan, termasuk dari segi kelengkapan, ketepatan kandungan atau kesan undang-undang dokumen yang dipaparkan.


"Saya juga tidak dapat memastikan sama ada imej tersebut menggambarkan dokumen sebenar secara lengkap.


"Jadi saya memohon PDRM membuat semakan awal dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menentukan ketulenan dan ketepatan dokumen yang sedang dikongsikan itu, serta sama ada terdapat unsur kesalahan yang memerlukan siasatan lanjut.


"Sekiranya terdapat perbezaan antara imej yang disebarkan dengan dokumen rasmi, saya memohon supaya punca perbezaan tersebut dikenal pasti dan tindakan sewajarnya dipertimbangkan berdasarkan bukti serta undang-undang yang terpakai," ujarnya lagi sambil menegaskan bahawa laporan itu dibuat bukan untuk menuduh sesiapa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page