top of page

Kongres Nasional KEADILAN 2026: Perkasa agenda reformasi berasaskan Malaysia MADANI

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2026 bakal menjadi platform penting bagi memperkukuh iltizam parti dalam memperjuangkan keadilan, kebebasan dan demokrasi yang lebih mampan.


Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar) berkata kongres yang turut menghimpunkan Kongres Nasional Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Kongres Nasional Wanita KEADILAN itu mencerminkan sinergi seluruh jentera parti dalam memperkukuh agenda perjuangan.


Beliau berkata, KEADILAN perlu memastikan agenda reformasi menyeluruh terus menjadi teras perjuangan parti dengan berlandaskan prinsip Malaysia MADANI.


"Agenda Reformasi Menyeluruh KEADILAN tetap berpegang pada tekad berterusan ‘Kita Keadilan, Jana Arus Perjuangan Keadilan, Kebebasan dan Demokrasi Malaysia’.


"Sebab itu, harapan kita ialah kongres kali ini akan memberikan tumpuan khusus kepada pelaksanaan reformasi menyeluruh yang berteraskan prinsip-prinsip Malaysia MADANI yang jelas dan boleh dilaksanakan dengan sungguh-sungguh," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Roland, keadilan, kebebasan dan demokrasi sebenar tidak dapat dicapai tanpa keberanian melakukan perubahan struktur secara mendalam.


"Kita juga harus kembali menegaskan bahawa keadilan, kebebasan, dan demokrasi sebenar tidak dapat dicapai tanpa keberanian untuk melakukan perubahan struktur yang mendalam dengan segera," katanya.


Beliau berkata, antara tumpuan utama reformasi yang perlu diberi perhatian ialah pengukuhan integriti dan tadbir urus.


"Pengukuhan integriti dan tadbir urus memperkasakan institusi awam penting bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti yang bebas daripada elemen korupsi dan salah guna kuasa," katanya.


Dalam aspek keadilan sosial dan ekonomi pula, Roland berkata, usaha merapatkan jurang ekonomi perlu dilaksanakan menerusi dasar yang inklusif supaya manfaat pembangunan negara dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.


Katanya, pendekatan itu selari dengan nilai kesejahteraan dan ihsan yang menjadi antara prinsip Malaysia MADANI.


Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kedaulatan undang-undang, termasuk memastikan keluhuran Perlembagaan dan hak asasi rakyat terus dipelihara bagi menjamin demokrasi yang subur.


"Memperkukuhkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang bagi menjamin kebebasan hak asasi rakyat serta demokrasi yang subur."


Selain itu, pembangunan modal insan turut dilihat sebagai komponen penting dalam agenda reformasi KEADILAN.


Roland berkata, nilai daya cipta, hormat dan keyakinan perlu diarusperdanakan dalam kalangan rakyat bagi membina masyarakat yang matang dan demokratik.


Justeru, beliau berharap Kongres Nasional KEADILAN 2026 dapat menjadi manifestasi tanggungjawab parti dalam memacu negara ke arah masa depan yang lebih jelas, berani dan berintegriti.


"Dengan penuh semangat di Kongres Nasional kali ini, kita mendoakan KEADILAN kekal komited dengan prinsip perjuangan keadilan, amanah, reformasi, harapan.


"Semoga Kongres ini merupakan manifestasi tanggungjawab parti untuk terus memacu negara ke hadapan dengan visi yang lebih jelas, berani, dan berintegriti demi masa depan Malaysia yang lebih makmur dan adil untuk semua," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page