top of page

Kongres KEADILAN selesai, masa untuk bekerja – Dr Suhaimi Ibrahim

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Para perwakilan yang menghadiri kongres diharap membawa pulang semangat baharu tingkat gerak kerja
Para perwakilan yang menghadiri kongres diharap membawa pulang semangat baharu tingkat gerak kerja

Kongres Nasional KEADILAN 2026 yang melabuhkan tirainya semalam perlu menjadi titik permulaan kepada gerak kerja lebih agresif parti, khususnya dalam memperkukuh organisasi dan mendekati rakyat, kata Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim.


Beliau berkata mesej Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penggulungan dan penangguhan kongres jelas bahawa selepas kongres, seluruh anggota perlu kembali bekerja.


Menurut Suhaimi, antara teguran penting Presiden ialah mengenai sikap ananiyah atau mementingkan diri sendiri dalam kalangan anggota yang boleh merugikan parti.


"Jangan merasakan diri paling pandai, paling betul atau paling penting. Jawatan bukan untuk mengejar projek, kedudukan dalam GLC atau kepentingan peribadi. Kuasa ialah amanah untuk berkhidmat," katanya.

Datuk Dr Suhaimi Ibrahim
Datuk Dr Suhaimi Ibrahim

Beliau berkata keputusan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan juga perlu diterima secara terbuka dengan semua peringkat parti melakukan penilaian terhadap kelemahan masing-masing.


"Keputusan di Johor dan Negeri Sembilan mesti diterima dengan terbuka. Berhenti menyalahkan orang lain. Semua peringkat, daripada pusat hingga ranting, perlu menilai dan memperbaiki kelemahan masing-masing," katanya.


Sehubungan itu, Suhaimi turut menyambut seruan supaya seluruh kekuatan parti dirangkul, termasuk tokoh lama dan veteran Reformasi yang masih mahu menyumbang kepada perjuangan.


Dalam perkembangan berkaitan kepimpinan parti, beliau berkata Datuk Seri Saifuddin Nasution diberi mandat melaksanakan tugas Timbalan Presiden, sementara Datuk Seri Amirudin Shari berperanan sebagai Pengarah Pilihan Raya dan Datuk Seri Aminuddin Harun menumpukan kepada latihan serta pengkaderan anggota sebagai usaha memantapkan KEADILAN menjelang Pilihan Raya Umum ke 16 yang dijangka pada hujung 2027.


Suhaimi juga menyenaraikan beberapa perkara penting yang disentuh dalam ucapan penggulungan Presiden, termasuk kesinambungan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan.


"Kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan akan diteruskan demi kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi," katanya.


Beliau turut menegaskan komitmen terhadap pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).


"AUKU mesti dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan undang-undang baharu yang terus mengongkong mahasiswa."


Dalam isu tadbir urus, Suhaimi berkata kerajaan juga perlu meneruskan penelitian terhadap pindaan Akta Tabung Haji serta agensi lain yang mempunyai masalah pengurusan.


"Meneliti pindaan Akta Tabung Haji serta meneruskan penelitian terhadap FELDA dan agensi lain yang mempunyai masalah tadbir urus," katanya.


Beliau berkata peruntukan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen yang diumumkan kerajaan bagi bantuan kebajikan, kemudahan asas dan penyelesaian masalah setempat juga perlu diterjemahkan secara berkesan kepada rakyat.


Menurutnya, bantuan berkenaan melengkapkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperuntukkan sehingga RM16 bilion.


Suhaimi turut menegaskan negeri yang ditadbir pembangkang tidak boleh dipinggirkan dalam penyaluran bantuan kerajaan.


Bagi KEADILAN Pahang, beliau berkata arahan tersebut perlu diterjemahkan melalui gerak kerja di lapangan dengan mendekati masyarakat di pelbagai kawasan.


"Turun ke kampung, kawasan FELDA, perkampungan Orang Asli, bandar kecil dan universiti. Dengar masalah masyarakat dan terangkan dasar kerajaan dalam bahasa yang mudah," katanya.


Tambah Suhaimi, tugas penerangan parti tidak boleh sekadar berkongsi poster atau angka pencapaian kerajaan, sebaliknya perlu membantu rakyat memahami dasar serta manfaat yang diterima mereka.


Justeru, beliau menyeru seluruh anggota KEADILAN supaya merapatkan barisan dan kembali memberi tumpuan kepada kerja memperkukuh organisasi serta menyelesaikan masalah rakyat.


"Kongres sudah selesai. Rapatkan barisan, baiki organisasi dan terus bekerja.


"Reformasi bukan sekadar laungan untuk mendapatkan kuasa. Reformasi ialah amanah untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan negara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page