Kongres KEADILAN 2026 tiup semangat perhebat gerak kerja
- Azuan Ab Rahman

- Aug 17
- 1 min read

Kongres Nasional KEADILAN 2026 yang berakhir semalam menjadi wadah utama dalam memugar kembali tekad serta semangat perjuangan parti.
Ketua Penerangan KEADILAN Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau berharap kongres tersebut akan menyuntik semangat untuk memperkukuh gerak kerja parti dan memastikan agenda perjuangan terus memberi manfaat kepada rakyat.
"Sepanjang tiga hari ini, kita berhimpun bukan sekadar untuk berucap dan berbahas, tetapi untuk bermuhasabah, mendengar suara akar umbi, menilai kekuatan dan kelemahan serta memperbaharui tekad terhadap perjuangan yang kita bawa.
"Pesanan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cukup jelas, perjuangan Reformasi mesti diteruskan dan kekuatan parti mesti sentiasa berpaksikan rakyat," katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Sementara itu tambahnya, berakhirnya kongres ini bukanlah titik penamat, sebaliknya satu permulaan untuk jentera parti kembali bekerja dengan lebih gigih.
Menurut Fahmi, cabaran politik akan terus datang, tetapi KEADILAN mesti kekal teguh mempertahankan prinsip dan agenda perjuangan rakyat.
"Pulanglah ke kawasan masing-masing dan kembalilah mendekati rakyat. Dengar pandangan mereka, fahami keresahan mereka, dan berusahalah mencari solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka.
"Kita juga wajib memperkukuh organisasi serta bergerak sebagai satu pasukan yang utuh, tersusun, dan berdisiplin." tambahnya.




Comments