Kongres KEADILAN 2026 cetus semangat baharu Reformasi – Mustaffa Kamil


Kongres Nasional KEADILAN 2026 yang melabuhkan tirai di Melaka semalam disifatkan berjaya mencetuskan lonjakan semangat baharu dalam kalangan anggota parti untuk menggerakkan agenda Reformasi dan Malaysia MADANI.
Mantan Naib Presiden KEADILAN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub (gambar) berkata, semangat tersebut jelas dirasai ketika mengikuti ucapan penggulungan pimpinan dan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kongres berkenaan.
"Alhamdulillah, 16 Ogos 2026, Ahad, di Kongres KEADILAN, MITC Melaka, mengikuti Ucapan Penggulungan Pimpinan-Pimpinan dan Presiden KEADILAN bersama lebih 5,000 orang perwakilan, pemerhati dan Otai Reformasi," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut Mustaffa yang juga mantan Timbalan Ketua Pemuda Pusat KEADILAN pada era Reformasi, perjalanan kongres tersebut memperlihatkan wujudnya keyakinan baharu dalam kalangan anggota parti terhadap kesinambungan perjuangan Reformasi.
"Jelas suatu lonjakan semangat baharu telah bermula. Pengharapan menggunung tinggi dengan Pelan Tindakan yang tersusun," katanya.
Beliau yang juga pernah menjawat Setiausaha Agung KEADILAN berkata, semangat yang dicetuskan melalui kongres perlu diteruskan dengan tindakan dan komitmen berterusan bagi memastikan agenda Malaysia MADANI dapat direalisasikan.
"Marilah kita menyemarakkan agenda Malaysia MADANI dengan 4i, ikhlas, itqan, ihsan dan istiqamah," katanya lagi.




Comments