Konflik Asia Barat: Kerajaan dicadang perluas skim subsidi diesel
- Akmal Manaf

- Mar 19
- 2 min read

Kerajaan digesa melaksanakan langkah intervensi jangka pendek yang lebih bersasar dengan memperluaskan akses subsidi diesel kepada sektor swasta dan perusahaan yang sebelum ini tidak tersenarai dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Perkara itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang susulan kenaikan harga diesel yang mendadak ketika ini.
Dalam masa yang sama katanya, kerajaan juga disaran melaksanakan mekanisme Variation of Price (VOP) bagi membolehkan kontraktor menyesuaikan harga kontrak selaras dengan turun naik kos bahan api.
Ujarnya, langkah berkenaan penting bagi memastikan kelangsungan projek pembangunan.
"Bagi jangka masa panjang, pendekatan yang lebih mampan perlu diberi perhatian melalui penyediaan insentif seperti pelepasan atau potongan cukai, bagi menggalakkan syarikat beralih kepada teknologi yang lebih cekap tenaga serta mengurangkan kebergantungan kepada diesel.

"Natijahnya, usaha merasionalisasikan subsidi perlu dilaksanakan secara berterusan dengan penambahbaikan yang seimbang antara kelangsungan perniagaan, kesejahteraan rakyat dan disiplin fiskal sektor awam, agar ekonomi negara kekal berdaya tahan dalam persekitaran yang mencabar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chun Kuang menyifatkan, kenaikan bahan api jenis diesel itu memberi kesan langsung kepada sektor-sektor utama seperti logistik, pembinaan, pembuatan, pertanian dan perikanan.
Beliau berkata, peningkatan kos operasi dalam sektor-sektor itu bukan sahaja menekan pengusaha, malah berpotensi dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
"Hakikatnya, banyak industri penting seperti pembinaan, perikanan (bot kategori C2), jentera pertanian dan kren amat bergantung kepada diesel, namun masih tidak diliputi di bawah sistem subsidi sedia ada," ujarnya lagi.
Pada masa sama, beliau mengalu-alukan langkah kerajaan menaikkan bantuan BUDI MADANI daripada RM200 kepada RM300 sebulan sebagai usaha meringankan beban rakyat yang bergantung kepada kenderaan diesel.
Selaras dengan perubahan harga bahan api global di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM), Kementerian Kewangan (MOF) semalam memaklumkan harga runcit bahan api bagi tempoh 19 hingga 25 Mac 2026 bagi RON97 dinaikkan kepada RM4.55 seliter (harga 18 Mac 2026, RM3.85 seliter).
Turut dinaikkan ialah harga diesel (Semenanjung Malaysia) kepada RM4.72 seliter (harga 18 Mac 2026, RM3.92 seliter), manakala RON95 tanpa subsidi serta diesel (Sabah, Sarawak dan Labuan) masing-masing kekal pada RM3.27 seliter dan RM2.15 seliter.
Harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kekal pada paras RM1.99 seliter.




Comments