Komited siapkan projek pembangunan meski kos naik akibat perang Asia Barat - Menteri Ekonomi
- Azuan Ab Rahman

- 5 hours ago
- 2 min read

Kerajaan memberi komitmen untuk memastikan semua projek pembangunan yang sedang berjalan ketika ini dapat disiapkan walaupun berdepan kenaikan kos ekoran krisis tenaga global, kesan daripada konflik perang di Asia Barat.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kementeriannya akan meneliti soal kelulusan projek, utiliti, prosedur operasi standard (SOP) serta aspek kelangsungan projek bagi memastikan ia dapat disiapkan seperti dirancang.
"Penumpuan diberikan semua agensi pelaksana bagi memastikan apa ruang yang kita boleh bantu supaya setiap projek yang sedang berjalan dapat diselesaikan.
"Sementara kerajaan cuba menampung, kalau diumumkan soal subsidi petrol sudah mencecah RM4.7 bilion sebulan tapi ruang lain kita kena pastikan juga tidak terganggu atau tergendala manakala kos-kos ini akan menjadi cabaran kepada semua pihak.
"Di peringkat kita adalah meneliti kalau ada perkara intervensi yang masih boleh dilakukan dalam skop yang ada bagi membolehkan perkara (projek sedang berjalan) itu dapat diselesaikan ataupun dapat diteruskan," katanya dipetik.
Terdahulu beliau melawat tapak projek Malaysia Vision Valley (MVV) melibatkan pembinaan jalan baharu dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek di Nilai pada Khamis.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mengenai peningkatan kos yang perlu ditanggung, Akmal Nasrullah berkata, perkara itu bergantung kepada input dan industri yang terkesan.
"Setakat ini angka rasmi dikeluarkan Bank Negara adalah berdasarkan keseluruhan, namun kita akan melihat perkembangan dari semasa ke semasa," tambah beliau.
Sementara itu, Kementerian Ekonomi dalam hantaran di Facebook memetik Akmal Nasrullah sebagai berkata kerajaan terus menekankan perancangan jangka sederhana bagi memastikan sebarang impak terhadap rakyat, industri dan kesinambungan pembangunan negara dapat ditangani secara lebih awal, tersusun dan berkesan.
"Meskipun konflik Asia Barat dan krisis tenaga global ini mungkin akan tamat dalam tempoh sekitar enam bulan, kesan rantaian terhadap ekonomi, bekalan dan kos operasi dijangka boleh berlanjutan sehingga setahun," ujar kementerian.
Justeru itu jelas kementerian, keutamaan ketika ini adalah memastikan intervensi dibuat pada masa yang tepat khususnya dalam menangani perkara-perkara mendesak yang memberi kesan langsung kepada rakyat dan sektor industri.
Terdahulu Akmal Nasrullah berkata projek pembinaan jalan baharu Nilai–Labu ke Bandar Enstek di bawah inisiatif MVV yang melibatkan kos projek sebanyak RM557.5 juta dijangka akan siap dalam suku tahun pertama 2027.
Jelasnya projek ini dijangka mempertingkat aliran trafik dan akses ke kawasan MVV serta Seremban Barat sekali gus membuka lebih banyak ruang pertumbuhan kepada sektor industri, logistik, perumahan dan peluang ekonomi setempat.
“Bila akses dipercepat, ekonomi turut digerakkan. Infrastruktur yang baik bukan sekadar menghubungkan destinasi malah menghubungkan rakyat kepada peluang, pekerjaan dan masa depan yang lebih baik," ujarnya.
Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan serta semua pihak terlibat bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat.
"Pembinaan jalan itu amat penting dalam meningkatkan jaringan perhubungan ke kawasan MVV dan Seremban Barat sekali gus menyokong pertumbuhan pelaburan, industri, logistik serta memudahkan pergerakan rakyat," ujarnya.




Comments