Klinik Kesihatan Maran bakal dinaik taraf - Dr Dzulkefly
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kementerian Kesihatan bakal menaik taraf Klinik Kesihatan (KK) Maran dari Klinik Kesihatan Jenis Empat kepada Klinik Kesihatan Jenis Tiga yang menyediakan perkhidmatan kecemasan 24 jam.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, klinik tersebut akan turut dilengkapi enam katil wad pesakit di Ruang Pemerhatian serta perkhidmatan Pusat Bersalin Kecemasan (EBC) bagi memperkukuh peranannya sebagai tunjang kepada sistem penjagaan kesihatan primer sekaligus memenuhi keperluan penduduk daerah itu.
"Bermula daripada Klinik Kesihatan Maran Type 4, saya telah menekankan komitmen untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan, khususnya perkhidmatan kecemasan 24 jam, kemudahan katil pesakit sebanyak enam buah (tiga untuk lelaki dan tiga untuk wanita), serta penambahbaikan Emergency Birthing Center (EBC).
"Ketiga-tiga perkhidmatan ini akan diperkasakan secara menyeluruh supaya dapat berfungsi dengan lebih efektif. Walaupun statusnya bukan hospital, namun peranannya adalah setara dari segi fungsi dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan oleh penduduk di Maran," katanya dipetik.
Dr Dzulkefly ditemui pemberita selepas sesi lawatan ke Klinik Kesihatan Maran pada Selasa.
Dalam pada itu tambahnya, cadangan projek pembinaan Hospital Maran dianggarkan bernilai RM350 juta tidak akan diteruskan buat masa ini, selepas pihaknya menilai keadaan semasa serta penggunaan fasiliti kesihatan sedia ada.
"Maran sudah mempunyai Hospital Jengka yang merekodkan kadar penggunaan katil atau bed occupancy rate (BOR) sekitar 57 peratus, manakala Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pula mencatatkan BOR 63 peratus," katanya.




Comments