KKM teliti pelaksanaan e-MC kukuhkan integriti sistem kesihatan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) terus berusaha memperkukuh integriti sistem kesihatan negara agar lebih selamat dan dipercayai.
Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata Bahagian Kesihatan Digital KKM telah diarahkan menjalankan kajian bagi pelaksanaan Sijil Cuti Sakit Digital (e-MC) dan langkah merealisasikan peralihan daripada sistem sijil cuti sakit konvensional kepada platform digital.
Penggunaan sistem tersebut jelasnya dapat meningkatkan ketelusan dan memudahkan pengesahan sijil cuti sakit sekali gus mengurangkan risiko pemalsuan dokumen pada masa hadapan.
"Sijil cuti sakit hanya boleh dikeluarkan oleh doktor atau pegawai perubatan yang merawat pesakit dan sebarang penyalahgunaan melibatkan dokumen tersebut merupakan kesalahan serius yang tidak akan dikompromi oleh kementerian," katanya dipetik laporan media tempatan.
Beliau sebelumnya mengulas penahanan lima individu termasuk seorang jururawat di Pekan, Pahang yang direman bagi membantu siasatan berkaitan penjualan dan pembelian sijil cuti sakit dipercayai tidak sah.
Sindiket itu didakwa aktif memalsukan nama doktor dan klinik swasta untuk mengeluarkan sijil sakit palsu sejak 2016.
Sementara itu, Dr Dzulkefly menegaskan bahawa kementeriannya tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan integriti profesion perubatan dan keselamatan sistem kesihatan negara.
Beliau menjelaskan, pembongkaran sindiket sijil sakit (MC) palsu ini memberi isyarat jelas bahawa negara perlu beralih ke arah sistem digital atau e-MC bagi meminimumkan salah guna.




Comments