KKM sasar gubal Akta Dana Kesihatan Nasional menjelang 2029


Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan penggubalan Akta Dana Kesihatan Nasional (DKN) menjelang 2029 bagi memperkukuh sistem pembiayaan kesihatan negara sekali gus merealisasikan liputan kesihatan sejagat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, DKN dirangka menerusi pendekatan hibrid bagi mewujudkan kerangka pembiayaan kesihatan nasional yang mampan dan bersesuaian dengan konteks Malaysia.
Menurutnya, pewujudan DKN merupakan satu perubahan struktural besar yang melibatkan penggubalan undang-undang baharu, hubungan Persekutuan–negeri serta kemungkinan implikasi terhadap aspek perlembagaan.
"DKN dirangka dengan menggabungkan pembiayaan melalui cukai am bagi menjamin liputan kesihatan menyeluruh kepada rakyat, selain mengadaptasi model Bismarck yang berasaskan insurans sosial melalui dana kesihatan khusus yang diurus secara berasingan.
"Oleh itu, akta ini perlu dilaksanakan dengan cermat, teliti dan berhemat," katanya dipetik ketika menjawab soalan pada sesi Dewan Rakyat, Isnin.
Menurut Dr Dzulkefly, KKM telah memulakan penelitian terhadap aspek pembiayaan, pemodalan, pakej manfaat, tadbir urus dan asas perundangan DKN dengan mengambil kira amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
Usaha itu turut melibatkan penyelarasan dasar secara pendekatan keseluruhan kerajaan (whole of government) bagi memastikan DKN dapat digubal secara menyeluruh, realistik dan mampan.




Comments