KKM sasar 902 klinik kesihatan perkhidmatan kesihatan paru-paru


Kerajaan MADANI menyasarkan 902 klinik kesihatan di seluruh negara melaksanakan pendekatan kesihatan paru-paru secara bersepadu menjelang akhir tahun ini.
Pendekatan bersepadu itu merangkumi promosi kesihatan, saringan awal, program berhenti merokok, serta laluan rujukan yang lebih teratur bagi menangani beban penyakit pernafasan di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, usaha berkenaan adalah sebahagian daripada Inisiatif Paru-paru Sihat 2025–2030 bagi menangani beban penyakit pernafasan di Malaysia.
"Kita melaksanakan tindakan secara agresif di dalam negara kerana di Malaysia, penyakit paru-paru adalah antara tiga penyebab utama kemasukan ke hospital dan kematian.
"Penyakit pernafasan kronik seperti asma dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) menjejaskan sebahagian besar penduduk," katanya dipetik laporan media.
Dr Dzulkefly berkata begitu pada perasmian Mesyuarat Saintifik Tahunan 2026 Unit Penyelidikan Kesihatan Global Institut Penyelidikan Kesihatan dan Penjagaan Kebangsaan (NIHR) mengenai Kesihatan Pernafasan (RESPIRE), di Kuala Lumpur pada Isnin.
Sementara itu menurut beliau, kementerian turut akan memperluas penggunaan saringan X-ray dada dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan pengesanan awal penyakit.
Kementerian turut mewujudkan pangkalan data khusus dikenali sebagai NALURY atau Daftar Kesihatan Paru-paru Kebangsaan bagi menyokong pemantauan dan penilaian program.
Dr Dzulkefly turut memaklumkan, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, enam peratus orang dewasa serta sehingga 13 peratus kanak-kanak menghidap asma, manakala tuberkulosis terus memberi beban besar kepada sistem kesihatan negara.
"Pada 2024, kadar insiden tuberkulosis direkodkan sebanyak 96 kes bagi setiap 100,000 penduduk," katanya.




Comments