KKM pertimbang kenaikan elaun, elak jururawat hijrah ke luar negara
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 1 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) bakal mempertimbang untuk menaikkan elaun jururawat dalam sebagai sebahagian usaha mengatasi masalah ‘perang gaji’ sekaligus mengelak mereka berhijrah ke luar negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, selain meningkatkan jumlah pengambilan jururawat, langkah menaikkan upah atau elaun seperti ‘post-basic’ itu akan menjadi pertimbangan dalam Program Kejururawatan.
"Kita tahu negara jiran menawarkan remunerasi lebih tinggi, jadi kita perlu ambil tindakan segera.
"Namun, harus diingat tiada jalan pintas untuk mengatasi masalah ini kerana ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk satu kohort graduan diploma atau ijazah tamat pengajian," katanya dipetik.
Dr Dzulkefly sebelumnya hadir menyempurnakan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada Jumaat.
Kajian terkini MBSB Research baru-baru ini mendapati pasaran tempatan, mencatatkan kadar kekosongan jawatan jururawat di paras kritikal sekitar 15 hingga 18 peratus pada tahun ini.
Fenomena kekurangan tenaga kerja itu memaksa penyedia kesihatan swasta terjerumus dalam persaingan agresif atau ‘perang gaji’ semata-mata demi mengekalkan jururawat sedia ada daripada berhijrah ke luar negara .
Selain terpaksa menaikkan gaji bulanan jururawat secara ketara, hospital swasta juga dilapor memperkenalkan bonus kesetiaan untuk menghalang penghijrahan kakitangan mereka.




Comments