KKM pantau kenaikan harga peranti perubatan
- Suara Keadilan

- 11 hours ago
- 1 min read

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau rapi harga peranti perubatan yang dilihat semakin meningkat sejak awal tahun ini bagi memastikan mutu perkhidmatan kesihatan untuk rakyat tidak terjejas.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, pemantauan bakal dilaksanakan melalui sistem penjejakan stok dan pengurusan inventori, selain jalinan kerjasama dengan syarikat farmaseutikal serta pihak industri.
"Kita akan memastikan bekalan perantik perubatan ini sentiasa terkawal.
"Situasi (peningkatan harga) ini dipercayai berpunca daripada gangguan rantaian bekalan global, termasuk faktor pengeluar yang menangguhkan penghantaran sejak Januari lalu yang sekali gus memberi kesan kepada pasaran tempatan," katanya dipetik.
Dalam perkembangan berkaitan, KKM memaklumkan, sekalipun berlaku kenaikan harga, bekalan peranti perubatan masih kekal stabil dan terkawal hasil beberapa langkah mitigasi yang dilaksana secara berterusan kementerian itu.
Ia termasuk persetujuan strategik antara Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bersama pihak berkuasa China untuk meningkatkan pembekalan resin dan nafta untuk kegunaan industri tempatan.
"Inisiatif ini bagi menstabilkan rantaian bekalan serta memastikan kelangsungan pengeluaran peranti perubatan kritikal di Malaysia.
"Bekalan tambahan tersebut berfungsi sebagai pemangkin utama dalam menampung kekurangan bahan mentah semasa bagi keperluan sistem kesihatan negara," kata kementerian itu dalam kenyataan.




Comments