top of page

Kita Selangor Rail: Selangor kumpul maklum balas penduduk

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 12 hours ago
  • 2 min read
Ng Sze Han (tiga dari kiri) melawat stesen kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung, Whoosh, di Indonesia
Ng Sze Han (tiga dari kiri) melawat stesen kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung, Whoosh, di Indonesia

Kerajaan Selangor bakal mengumpul pandangan penduduk dan pihak berkepentingan sebelum memuktamadkan cadangan projek Kita Selangor Rail Line


Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, langkah tersebut bagi memastikan sistem pengangkutan rel itu memenuhi keperluan serta corak kehidupan masyarakat setempat.


Menurutnya, pendekatan itu susulan lawatan delegasi Selangor ke PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC), pengendali perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung, Whoosh.


"Apa yang menarik ialah mereka mengambil kira keadaan tempatan, budaya dan gaya hidup masyarakat sebelum membangunkan sistem yang sesuai.


"Selangor berhasrat mengguna pakai pendekatan sama dengan memperluaskan sesi libat urus bersama rakyat dan pemain industri sebelum menentukan hala tuju projek rel berkenaan," katanya dipetik Media Selangor.


Beliau berkata Selangor dan koridor Jakarta-Bandung mempunyai corak pembangunan yang hampir sama, iaitu berkembang secara mendatar berbanding tertumpu di pusat bandar yang padat.

Kedua-dua wilayah turut berdepan cabaran yang sama dalam aspek ketersambungan pengangkutan, sekali gus membuka ruang untuk berkongsi pengalaman dan mencari penyelesaian terbaik.


"Saya percaya kita boleh terus berkongsi pengalaman dan bekerjasama bagi mencari penyelesaian yang lebih berkesan mengikut keperluan masing-masing," katanya.


Kerajaan Negeri Selangor sedang merancang pembangunan Kita Selangor Rail sepanjang 210 km yang menghubungkan zon perindustrian, kawasan perumahan, dan hab pengangkutan utama dari utara di Sabak Bernam hingga ke sempadan Negeri Sembilan


Rancangan itu bertujuan memperkukuh jaringan pengangkutan rel di kawasan strategik luar Lembah Klang bagi mengurangkan kesesakan, merangsang limpahan ekonomi, dan menyokong sektor perindustrian.


Sementara itu, Sze Han sebagai mengulas perkembangan projek itu berkata, ia masih berada pada peringkat awal dengan Kerajaan Negeri kini meneliti model pembiayaan dan pembangunan yang paling sesuai.


Selangor jelasnya telah menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi mengkaji aspek pembiayaan dan pembangunan projek tersebut.


"Masing-masing untuk mengkaji model pembiayaan dan model pembangunan supaya projek ini dapat dilaksanakan mengikut pendekatan yang paling sesuai untuk Selangor," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page