top of page

Kewibawaan Parlimen mengatasi kepentingan kuasa semata



Oleh : Syed Ibrahim Syed Noh


Hari ini ialah Hari Parlimen Sedunia. Ia merupakan pengiktirafan terhadap satu institusi yang berasaskan suara rakyat sejak berdekad lamanya. Ia pengiktirafan dunia, bukan hanya di desa, kota, bandaraya atau negara. Ia bukan hanya simbol demokrasi tetapi pelantar untuk menggubal undang-undang yang mengesani rakyat dan negara.


Sebagai salah satu daripada tiga cabang kuasa, Parlimen juga berfungsi sebagai badan semak dan imbang kepada cabang eksekutif, terutama dari segi penggunaan dana dan kuasa.


Ia juga tempat rakyat boleh menilai ketelusan, kebertanggungjawaban, keamanahan dan kesungguhan pemimpin mereka sama ada wakil rakyat, Menteri atau Timbalan Menteri, untuk mewakili mereka.


Kemelut demokrasi


Namun hari ini Parlimen Malaysia seolah-olah jumud semula setelah bangkit segar pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, tatkala Parlimen negara lain terus berfungsi meskipun terhad akibat penularan wabak Corona virus.


Hal ini kerana negara dilanda kemelut institusi demokrasi dan pemerintahan. Sidang Parlimen tertangguh beberapa bulan akibat berlakunya peralihan kuasa.


Sidang Parlimen kemudiannya dilaksanakan pada 18 Mei 2020 untuk hanya kurang lebih sejam di sebalik pandemik Covid-19 serta kebimbangan kejatuhan semula kerajaan akibat kemunculan usul Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri.


Pakar perlembagaan berkata sidang Parlimen satu hari tersebut “sah” daripada segi perlembagaan tetapi dikesali dari sudut keabsahan demokrasi dan kewajaran politik.


Ramai yang berpendapat bahawa fungsi Parlimen untuk meneliti undang-undang dan dasar kerajaan terutama yang melibatkan pakej rangsangan ekonomi yang amat besar peruntukannya wajib diteruskan. Antara lain supaya setiap perbelanjaan dapat diketahui sumbernya, kaedah perolehannya, cara penyampaiannya, golongan sasarnya, ciri-ciri semakan atau audit dan ukuran keberkesanan.


Malah, PBB dan Kesatuan Antara Parlimen Sedunia atau Inter-Parliamentary Union (IPU) sendiri mengakui bahawa dalam masa krisis, peranan Parlimen lebih-lebih lagi penting untuk meluluskan undang-undang darurat, pengagihan sumber dan pemantauan tindakan kerajaan.


Hala tuju dan fungsi Parlimen


Sesetengah Parlimen telah dan sedang meminda undang-undang dan peraturan untuk membenarkan bekerja secara jarak jauh, secara bersemuka, Parlimen digital atau cara-cara lain. Pokok pangkalnya, Parlimen tetap boleh menggubal undang-undang, berbahas dan menyemak tindakan kerajaan pada ketika perintah kawalan pergerakan atau penjarakan sosial.


Persoalannya sekarang, apakah hala tuju Parlimen dalam keadaan kerajaan Perikatan Nasional yang rapuh bilangannya? Bolehkah Parlimen berfungsi menurut peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan?


Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan yang ada pada hari ini bukan hanya tidak ada keabsahan tetapi terus terusan menginjak setiap aspek demokrasi, termasuk terus mengelak untuk mengadakan sidang Parlimen atau Dewan Rakyat.


“Amatlah wajar untuk kita terus menggesa kerajaan hari ini untuk mengadakan sidang Parlimen sesegera mungkin dan menjunjung tinggi institusi Parlimen sebagai tiang seri demokrasi dan negara hukum,” tegasnya lagi.


Untuk rekod, sidang Parlimen akan datang ialah pada 13 Julai hingga 27 Ogos 2020 seperti yang dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat pada 12 Jun lalu.


Usul tukar Speaker dan Timbalan Speaker


Menambah kekusutan kepada Parlimen apabila beberapa hari lepas telah disahkan terdapat usul untuk menukar Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Usul tersebut dibawa oleh Perdana Menteri.


Hari ini telah keluar pula laporan media yang mendakwa bakal pengganti yang dicadangkan ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun. Dilaporkan beliau telah letak jawatan SPR semalam. Apa agenda di sebalik pertukaran begini?


Saya tahu ada yang menyokong langkah pertukaran Speaker dan ada yang membidasnya. Yang menyokong mengatakan bahawa ia selari dengan berlakunya perubahan kerajaan dan “parliamentary convention” atau budaya Parlimen. Yang membidas mengatakan ia tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan melanggar doktrin pemisahan kuasa malah didakwa usul tersebut ialah langkah untuk mengelak usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.


Saya tidak mahu mengulas daripada aspek undang-undang atau budaya Parlimen. Saya ingin berhujah daripada aspek kewibawaan dan kepentingan institusi Parlimen.


Semalam, saya dan rakan saya Saudari Kasthuri Patto, Ahli Parlimen Batu Kawan sempat bertemu Tan Sri Datuk Mohamad Ariff bin Md Yusof, Speaker Dewan Rakyat. Kami bertemu sebaik selesai Mesyuarat ketiga ASEAN Inter-Parliamentary Assembly berkaitan Dadah (AIPACODD3) di Parlimen.


Justeru, hujah saya ini berdasarkan perbualan saya dengan Speaker. Banyak yang kami bincangkan. Antaranya ialah perkembangan semasa Parlimen dan peranan yang beliau serta Ahli Parlimen boleh mainkan untuk terus menjamin kebebasan dan kewibawaan institusi demokrasi negara, Parlimen.


Speaker yang tenang dan berwibawa


Tan Sri ternyata tenang meskipun sedar ketidaktentuan yang mungkin timbul dalam sidang Parlimen akan datang, terutama apabila ada usul untuk menukar beliau dan timbalannya, Nga Kor Ming.


Apabila ditanya berkenaan usul tersebut, beliau sambutnya dengan sikap terbuka dan berlapang dada. Cuma katanya, apa-apa usul boleh dikemukakan tetapi biarlah ia mengikut prosidur peraturan mesyuarat parlimen. “Go by the book (ikut buku) lah!” katanya ringkas.


Malah menurut beliau, ketika beberapa usul dikemukakan dalam sidang pada 18 Mei lepas, setiap pertimbangan terhadap usul “panas” tersebut dibuat dengan teliti tanpa memikirkan implikasi politik.


Untuk rekod, terdapat empat usul yang telah dibangkitkan pada ketika itu. Difahamkan usul yang diterima oleh Speaker ialah usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan usul melanjutkan sidang. Dua ciri yang dipertimbangkan ialah sama ada usul bersifat kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.


Walau bagaimanapun, penerimaan usul tersebut sebagai aturan mesyuarat tidak bermakna usul boleh dibentangkan. Agenda aturan mesyuarat diputuskan oleh Ketua Dewan atau Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri. Maka sesuatu usul bukan kerajaan atau persendirian boleh dikemudiankan setelah semua urusan agenda kerajaan selesai. Dengan kata lain, Perdana Menteri dan kerajaan masih boleh “kawal” agenda mesyuarat.


Saya bawa perkara ini untuk menjelaskan sikap Speaker, seorang bekas hakim Mahkamah Rayuan. Beliau tidak memohon untuk dilantik sebagai Speaker tetapi apabila terlantik dan diberi amanah, beliau melaksanakannya seadil dan semampu boleh mengikut peraturan yang ditetapkan meskipun pernah menyingkir keluar seorang Ahli Parlimen kerajaan daripada Pakatan Harapan. Saya juga masih ingat bagaimana beliau berjaya menguruskan beberapa debat panas antara ahli parlimen.


Sebagai Speaker, Tan Sri telah melaksanakan pelbagai usaha reformasi Parlimen yang boleh dibanggakan. Antaranya ialah menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas sebagai badan semak dan imbang, merakyatkan Parlimen melalui penganjuran seminar dan bengkel di Parlimen dan bersikap adil dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Speaker.


Beliau juga telah memulakan kerja untuk memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen di samping menggesa pelantikan jawatan-jawatan penting dalam negara seperti SPR, SPRM dan SUHAKAM disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.


Paling penting ialah beliau telah berjaya meletakkan asas untuk mengembalikan kewibawaan institusi Parlimen sebagai institusi demokrasi terhormat yang bukan sahaja disanjung oleh rakyat dan negara Malaysia tetapi juga dipuji oleh Parlimen serantau dan global.


Dari sudut ini dan kewibawaan yang ada pada Tan Sri Arif, beliau sewajarnya tidak disingkirkan tetapi sebaliknya dikekalkan. Penggantian beliau jika berlaku merupakan satu kerugian besar buat institusi demokrasi negara yang sedang menuju ke arah yang lebih baik sebagaimana yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam Buku Harapan.


Meskipun “kuasa” ada pada Perdana Menteri dan kerajaan sekarang untuk menukar Speaker dan Timbalan Speaker, namun saya harap ia tidak di salah gunakan untuk mengutamakan kuasa dan mengatasi kepentingan perubahan atau reformasi institusi Parlimen yang kunci pentingnya ialah Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat.


__________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Ahli Parlimen Ledang dan Pengerusi KEADILAN Negeri Johor

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page