Kewibawaan Anwar Kemudi Krisis Tenaga, Pacu Reformasi Subsidi Negara
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Lai Cheng Heng
ULASAN: Ketika dunia panik menyaksikan sekatan di Selat Hormuz mencetuskan huru-hara, mogok, dan rusuhan ganas di jalanan hingga melumpuhkan ibu negara beberapa buah negara akibat putus bekalan bahan api, Malaysia melangkah keluar daripada badai geopolitik itu dengan penuh bergaya.
Di sesetengah negara, ibu kota mereka dibanjiri oleh perusuh tetapi di Kuala Lumpur, kita sebaliknya dibanjiri oleh pelancong dan pelabur asing.
Di sebalik unjuran awal yang meramalkan kantung negara bakal bocor sehingga RM58.4 bilion akibat lonjakan harga minyak dunia melebihi RM440 setong, stesen-stesen minyak di seluruh tanah air kekal tenang, lancar, dan sentiasa penuh tanpa sebarang gangguan.
Anwar pakar strategi ekonomi
Kejayaan luar biasa ini meletakkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kelas tersendiri sebagai pakar strategi antarabangsa.
Di sebalik tekanan domestik yang mendesak kerajaan mengambil tindakan melulu, beliau memilih untuk tidak panik.
Pendekatan berhemah, dasar berkecuali, serta kewibawaan beliau mengekalkan keharmonian hubungan diplomatik terbukti menyelamatkan negara daripada malapetaka ekonomi, sekaligus membuktikan ketatanegaraan beliau yang berpandangan jauh.
Bukan sekadar mempertahankan kestabilan sedia ada, keberanian Datuk Seri Anwar terserlah apabila beliau memanfaatkan momentum ini untuk menggerakkan reformasi institusi yang paling berani dalam sejarah negara menerusi struktur penetapan harga bahan api baharu.
Di bawah kerangka reformasi ini, harga petrol RON95 kekal utuh dilindungi pada kadar RM1.99 seliter, manakala bermula 1 Julai ini, langkah radikal penyasaran subsidi diesel pada kadar RM2.10 seliter akan dikuatkuasakan secara rasmi di seluruh negara.
Melalui sistem pengesahan MyKad yang disepadukan secara pintar dengan data Jabatan Pengangkutan Jalan di pam minyak, perlindungan harga tetap RM1.99 seliter untuk RON95 dan RM2.10 seliter untuk diesel bermula 1 Julai hanya akan dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak.
Langkah strategik ini sekali gus menoktahkan serta-merta aktiviti penyeludupan dan ketirisan berbilion ringgit yang selama ini dinikmati oleh warga asing serta entiti komersial tidak bertanggungjawab.
Namun, kejutan sebenar yang membuktikan Datuk Seri Anwar sedang merangka strategi jangka panjang adalah perancangan strategik beliau di luar negara ketika krisis sedang memuncak.
Diplomasi peringat tinggi jamin bekalan minyak
Memandangkan hampir 40 peratus bekalan minyak mentah tempatan bergantung kepada laluan maritim Timur Tengah, beliau secara senyap menjamin masa depan tenaga Malaysia menerusi diplomasi peringkat tinggi.
Hasil rundingan bersemuka bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia, Malaysia berjaya mengunci jaminan bekalan tenaga eksklusif selama 20 tahun, selain memayungi kejayaan PETRONAS memeterai kontrak carigali blok gas gergasi di Laut Kaspia bersama firma milik kerajaan Turkmenistan.
Walaupun rentak kejayaan bertaraf global ini secara kebetulan bertembung dengan kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri Johor yang bakal memuncak pada 11 Julai ini, ia pastinya menjadi modal politik paling ampuh dan mengujakan buat calon-calon Pakatan Harapan.
Namun, impak terbesarnya tetap tertumpu kepada masa depan negara.
Ia adalah bukti jelas bagaimana reformasi tadbir urus dan ketokohan seorang pemimpin mampu mengawal inflasi di Pelabuhan Klang serta membina sebuah Malaysia yang kebal daripada sebarang kejutan geopolitik dunia.




Comments