Ketersediaan bekalan ubat-ubatan terkawal, mencukupi - Dr Dzulkefly
- Azuan Ab Rahman

- 18 hours ago
- 2 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan ketersediaan bekalan ubat secara keseluruhannya masih terkawal dan kekal mencukupi meskipun sebahagian kecil produk memerlukan pemantauan rapi di peringkat rantaian bekalan industri.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, sebanyak 505 daripada 702 jenis ubat yang dipantau berada pada tahap risiko rendah kerana mempunyai bekalan melebihi 90 hari.
"KKM memantau 702 jenis ubat yang melibatkan 3,739 produk berdaftar menerusi pelaporan bulanan oleh syarikat pemegang pendaftaran.
"Daripada jumlah itu, 505 jenis ubat atau 72 peratus mempunyai stok melebihi 90 hari dan dikategorikan pada tahap risiko rendah," katanya menerusi satu kenyataan.
Menerusi kenyataan sama Dr Dzulkefly menjelaskan, sebanyak 79 jenis ubat atau 11.3 peratus mempunyai stok antara 60 hingga 90 hari dan dikategorikan sebagai berisiko sederhana, manakala 118 jenis ubat lagi atau 16.8 peratus mempunyai stok kurang daripada 60 hari serta diletakkan dalam kategori berisiko tinggi.
Kumpulan ubat yang berada dalam kategori risiko sederhana dan tinggi itu melibatkan pelbagai bidang terapeutik termasuk antibiotik, ubat kanser, vaksin, antidot, ubat psikiatri dan ubat kardiovaskular yang sedang dipantau rapi di peringkat rantaian bekalan industri.
"Hanya 14 daripada 118 jenis ubat berisiko tinggi itu dikenal pasti sebagai kritikal.. Antara ubat kritikal yang dipantau ialah Fluorouracil bagi rawatan kanser, Methylene Blue untuk prosedur diagnostik, Linezolid (antibiotik) dan Coal Tar Solution yang digunakan dalam rawatan psoriasis," tambahnya.
Dr Dzulkefly sementara itu menegaskan, KKM menjalankan pemantauan berterusan bersama pihak industri, pembekal dan fasiliti kesihatan bagi memastikan sebarang risiko gangguan bekalan dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
Ubat-ubatan kritikal menurutnya mempunyai perancangan bekalan seterusnya, termasuk penghantaran stok tambahan yang dijadual diterima antara Jun hingga September ini.
Untuk rekod, sesetengah ubat ubatan berasaskan petroleum tidak terjejas dengan konflik yang melanda Timur Tengah dan ubat ubatan seperti itu masih mudah didapati di negara ini dengan harga yang berpatutan.




Comments