top of page

Ketegasan Sepanyol tentang kekerasan ketenteraan AS-Israel dipuji - Dr Maszlee

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memuji ketegasan kerajaan Sepanyol yang menentang tindakan ganas ketenteraan terhadap Iran, sekali gus mempertahankan prinsip undang-undang antarabangsa dan tatanan dunia berasaskan peraturan.


Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa KEADILAN, Dr Maszlee Malik (gambar) berkata, parti itu menyatakan solidariti kepada Presiden Kerajaan Sepanyol, Pedro Sánchez serta rakyat negara tersebut atas pendirian tegas mereka dalam menghadapi konflik berkenaan.


Menurutnya, Sepanyol tampil bukan sekadar sebagai pemerhati, malah sebagai pembela berprinsip terhadap tatanan antarabangsa apabila mengkritik tindakan agresi unilateral oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.


"Kami memuji Perdana Menteri Sánchez atas kecaman segera dan tegas beliau terhadap tindakan tersebut yang disifatkan sebagai ‘campur tangan ketenteraan yang tidak berasas’ dan ‘berbahaya’, serta satu pelanggaran langsung terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, suara Sepanyol ketika situasi tegang ini memberi kejelasan moral dan politik kepada masyarakat antarabangsa, selain mengingatkan dunia bahawa kedaulatan sesebuah negara tidak boleh dicabuli.


Dalam masa sama, KEADILAN turut memuji keputusan kerajaan Sepanyol menafikan akses kepada Amerika Syarikat terhadap pangkalan dan kemudahan wilayahnya untuk melancarkan peperangan tersebut.


"Ia menghantar mesej yang jelas bahawa sesebuah negara bukanlah landasan untuk pengembaraan ketenteraan, sebaliknya penjaga keamanan," katanya.


Maszlee berkata, tindakan Sepanyol itu juga mencerminkan konsep autonomi strategik Eropah yang menekankan kepimpinan berprinsip berasaskan diplomasi dan bukannya tekanan kuasa.


Tambah beliau, ketegasan Sepanyol yang menyeru pengekangan, menuntut rundingan semula serta enggan terlibat dalam konflik yang semakin meluas di Asia Barat jelas berbeza dengan pendekatan unilateral yang boleh menggugat kestabilan serantau.


"Dengan memperjuangkan multilateralisme berbanding tindakan unilateral, Sepanyol telah menetapkan satu penanda aras kepada masyarakat antarabangsa dan membuktikan bahawa pematuhan kepada undang-undang antarabangsa adalah jaminan kepada keselamatan yang berkekalan," katanya.


Sehubungan itu, KEADILAN menyeru negara-negara yang mencintai keamanan supaya menyokong tuntutan Perdana Menteri Sepanyol bagi gencatan senjata segera dan kembali kepada rundingan yang difasilitasi PBB, selain menolak penggunaan kekuatan ketenteraan secara pencegahan untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa.


Maszlee turut merakamkan penghargaan kepada Pedro Sánchez dan rakyat Sepanyol atas komitmen mereka terhadap prinsip dunia yang mengutamakan undang-undang berbanding kekuatan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page