Kesucian al-Quran bukan modal politik: Nik Abduh, Pas perlu beri penjelasan


Pendirian Nik Mohamad Abduh dalam kontroversi berkaitan ayat al-Quran berhubung komen pempengaruh Eric See-To wajar diperjelaskan bagi memastikan prinsip mempertahankan kesucian agama tidak dilihat diamalkan secara terpilih mengikut kepentingan politik.
Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) berkata, kontroversi itu didakwa bukan sekadar membabitkan individu, sebaliknya membuka ruang untuk masyarakat menilai konsistensi prinsip yang dibawa kepimpinan Pas.
Menurutnya, Pas selama ini sering menampilkan diri sebagai parti yang memperjuangkan Islam dan mempertahankan kesucian agama, justeru pendirian pemimpinnya dalam isu berkenaan wajar diberikan penjelasan.
"Selama ini, Pas sering menampilkan dirinya sebagai parti yang memperjuangkan Islam dan mempertahankan kesucian agama. Namun, apabila timbul kontroversi yang melibatkan pihak lain dan dikaitkan dengan penghinaan terhadap ayat al-Quran, masyarakat berhak bertanya, di manakah ketegasan yang selama ini dilaungkan?" katanya dalam muat naik di media sosial.
Fakhrulrazi berkata, sekiranya terdapat penghinaan terhadap ayat suci, perkara itu perlu ditangani secara serius tanpa mengira identiti pelaku, parti politik atau kepentingan yang terlibat.
"Jika pemimpin hanya lantang apabila pihak lawan melakukan kesalahan, tetapi menjadi lunak apabila pihak yang mempunyai hubungan politik atau kepentingan tertentu terlibat, masyarakat berhak mempersoalkan konsistensi perjuangan tersebut," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa seseorang tidak boleh terus dilabel sebagai penghina agama tanpa penelitian terhadap kenyataan asal, konteks dan bukti berkaitan.
Menurutnya, kepimpinan yang berprinsip perlu berani menegur sesiapa sahaja apabila terdapat bukti kesalahan, termasuk rakan politik dan penyokong sendiri, selain memberikan ruang kepada penjelasan berdasarkan fakta.
Sehubungan itu, Fakhrulrazi menggesa Nik Abduh dan kepimpinan Pas memberikan penjelasan menyeluruh mengenai pendirian mereka dalam kontroversi berkenaan.
"Jika mereka percaya individu yang dipertikaikan tidak bersalah, kemukakan alasan dan bukti yang menyokong pendirian tersebut. Jika terdapat unsur penghinaan terhadap al-Quran, jelaskan juga pendirian mereka terhadap perbuatan itu," katanya.
Beliau berkata, masyarakat bukan sekadar mahu mendengar slogan perjuangan Islam, sebaliknya mahu melihat keselarasan antara kenyataan dengan tindakan pemimpin.
"Akhirnya, ukuran perjuangan agama bukanlah berapa lantang seseorang melaungkan slogan Islam, tetapi sejauh mana prinsip itu dipertahankan ketika berdepan tekanan politik, kepentingan kuasa dan hubungan sesama sendiri," katanya.




Comments