top of page

Kontroversi persenda al Quran: KEADILAN T'ganu buat beberapa laporan polis

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
1 min read
Salah satu laporan polis dibuat di IPD Kuala Terengganu
Salah satu laporan polis dibuat di IPD Kuala Terengganu

Enam laporan polis dijangka dibuat di Terengganu berhubung hantaran media sosial yang dikaitkan dengan pempengaruh, Eric See-To yang didakwa mempersendakan al-Quran dan mengandungi sindiran berunsur seksual terhadap Perdana Menteri.


Pengerusi Majlis Kepimpinan KEADILAN Terengganu, Dr Zainuddin Awang@ Omar berkata, laporan berkenaan bertujuan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.


Beliau berkata, kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan sehingga menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja atau 3R.


Menurutnya, tindakan sewajarnya perlu dipertimbangkan sekiranya siasatan mendapati terdapat pelanggaran undang-undang.


"Kita berharap pihak polis atau pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya dengan segera sebagai pengajaran kepada individu terbabit dan pihak lain supaya perkara seumpama ini tidak berulang," katanya.


Beliau turut menyebut Akta Hasutan 1948 sebagai antara peruntukan undang-undang yang wajar diteliti pihak berkuasa berdasarkan hasil siasatan.


Zainuddin juga mengecam komen yang dikaitkan dengan Eric berhubung petikan Surah al-Hashr ayat 18 yang dibacakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027.


Komen berkenaan didakwa mengaitkan perkataan Arab "lighad", yang bermaksud hari esok, dengan ungkapan berunsur seksual bagi tujuan sindiran politik.


Di Terengganu, laporan polis dijangka dibuat di beberapa daerah, termasuk Kemaman, Marang, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.


Sementara itu, lebih 20 laporan polis dilaporkan telah dibuat di seluruh negara berhubung isu berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page