top of page

Kestabilan politik kunci kemajuan negara, kesejahteraan rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 18
  • 1 min read

Semua pihak khususnya pemimpin politik digesa tidak mengorbankan agenda rakyat semata-mata untuk memenuhi agenda kepentingan politik sempit sendiri.

Pengarah Jentera Pilihan Raya KEADILAN Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan (gambar) berkata ketika masyarakat berdepan cabaran kos sara hidup, peluang pekerjaan dan keperluan infrastruktur lebih baik, tumpuan pemimpin harus diberikan kepada penyelesaian masalah rakyat dan bukan mewujudkan ketidaktentuan politik.


Tambah beliau, percaturan kuasa hanya akan menjejaskan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat yang sedang diusahakan Kerajaan MADANI ketika ini.


"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berkali-kali menyatakan pandangannya mengenai keutamaan kestabilan politik demi masa depan negara dan rakyat.


"Keutamaan kini ialah memastikan ekonomi terus berkembang, pelaburan terus masuk, peluang pekerjaan diperluaskan, dan kemudahan awam dipertingkatkan. Kestabilan politik merupakan asas kepada keyakinan pelabur serta kemajuan sesebuah daerah.


"Sebarang tindakan mengganggu kestabilan politik hanya akan melambatkan pelaksanaan dasar, menjejaskan keyakinan pelabur, dan akhirnya memberi kesan kepada kehidupan rakyat," katanya dipetik laporan media tempatan.


Dr Sathia ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Pesta Keusahawan Riang sempena sambutan perayaan Duan Wu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Gurney, Hulu Selangor pada Rabu.


Beliau yang juga Penyelaras Parlimen Hulu Selangor sementara itu berkata, daerah itu memerlukan kepimpinan yang berorientasikan tindakan dan hasil yang memfokus kepada pembangunan pendidikan, penjagaan kesihatan, jaringan pengangkutan, ekonomi tempatan, transformasi digital serta pemerkasaan belia dan usahawan.


"Hulu Selangor berhak menikmati pembangunan yang konsisten, peluang ekonomi lebih luas, dan masa depan lebih cerah tanpa terganggu oleh perebutan kuasa," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page