Kestabilan Politik Asas Kestabilan Ekonomi Selangor


ULASAN: ADUN Hulu Bernam, Mu’izzuddeen Mahyuddin semasa menjadi tetamu sebuah podcast menyatakan bahawa Kerajaan Madani Selangor perlu meletakkan sasaran pembangunan ekonomi lebih tinggi dengan menjadikan Singapura sebagai penanda aras bagi membolehkan negeri itu bersaing di peringkat ASEAN.
Namun hakikatnya pandangan tersebut tersasar daripada konteks pembangunan Negeri Selangor sebagai salah sebuah negeri di bawah persekutuan Malaysia. Perbandingan Selangor dengan Singapura adalah sangat tidak tepat kerana Singapura adalah sebuah negara manakala Selangor merupakan sebuah negeri, perbandingan ini adalah tidak adil kerana Selangor terikat dalam kerangka ekonomi persekutuan Malaysia berbanding Singapura sebagai sebuah negara berdaulat yang mengurus sendiri dasar ekonominya. Mu’izzuddeen harus mengulangkaji semula peranan negeri dan persekutuan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Pelabur yakin dengan kerajaan Selangor
Beliau pada masa yang sama memuji kemasukan pelaburan bernilai RM 2.2 bilion oleh Chery Corporate Malaysia di Lembah Beringin, Hulu Selangor melibatkan pembangunan Chery Smart Auto Industrial Park seluas 200 ekar. Beliau yakin bahawa pelaburan tersebut akan memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk di Hulu Bernam dan Hulu Selangor untuk mendapat peluang pekerjaan.
Namun beliau harus sedar kejayaan menambat pelaburan tersebut adalah berasaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan kejayaan pemerintahan Kerajaan Madani Selangor, keyakinan tersebut boleh berubah sekiranya kerajaan lain memerintah Negeri Selangor. Keadaan tersebut dapat dilihat berlaku di Negeri Sembilan selepas kejatuhan Kerajaan pimpinan Tok Min, krisis politik antara Umno Negeri Sembilan dan istana menjadikan keyakinan pelabur semakin berkurangan. Ditambah pula dengan ketidakstabilan kedudukan Menteri Besar baharu, Datuk Ismail Lasim turut menjadikan pelabur semakin hilang keyakinan.
Basmi kemiskinan tegar
Dakwaan Mu’izzuddeen bahawa kemajuan ekonomi Negeri Selangor tidak dapat dirasai rakyat dan hanya sekadar dicatatkan dalam bentuk statistik harus dikaji semula. Ketaksuban politik telah menjadikan beliau buta untuk menilai pencapaian Kerajaan Madani Selangor dalam membela kebajikan rakyat.
Laporan yang dibentangkan di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor menunjukkan bahawa kemiskinan tegar yang melibatkan 5,085 Ketua Isi Rumah (KIR) berjaya dihapuskan pada 1 Januari 2026. Kejayaan terbesar Kerajaan Madani Selangor yang tidak berjaya dilakukan oleh Kerajaan negeri lain di Malaysia adalah perlaksanaan Iltizam Selangor Penyayang yang merangkumi 46 inisiatif, khususnya bagi membantu golongan B40 dan warga emas menghadapi kos sara hidup. Justeru, nikmat mana yang ingin Mu’izzuddeen dustakan?
Kegagalan SG4
Seharusnya Mu’izzuddeen kembali melihat kegagalan Kerajaan SG4 yang sehingga kini terpaksa dibantu oleh Kerajaan Madani Persekutuan untuk mentadbir. Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa pada tahun 2025 Kerajaan Negeri Terengganu terpaksa memohon Kerajaan Madani Persekutuan untuk membiayai Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM 500.00 untuk lebih 14,000 penjawat awamnya.
Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 2025 terpaksa merayu bantuan daripada Kerajaan Madani Persekutuan bagi membantu pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Machang. Kerajaan Madani Persekutuan dalam isu ini mempunyai hak untuk tidak melayan permohonan tersebut memandangkan pengurusan air adalah di bawah tanggungjawab negeri menurut Perlembagaan Persekutuan.
Namun Kerajaan Madani Persekutuan dengan rela menyerahkan RM 500 juta pada tahun 2025 dan 2026 untuk membantu pengurusan sistem rawatan air Negeri Kelantan. Perkara ini tidak berlaku di Negeri Selangor sepanjang kerajaan diterajui oleh KEADILAN dan PH, pembayaran bonus kakitangan awam negeri dan pengurusan air adalah sepenuhnya ditanggung oleh Kerajaan Madani Selangor. Justeru Mu’izzuddeen harus bermuhasabah dan mula menasihati pentadbiran Kerajaan SG4 berbanding memeningkan diri memikirkan perkara yang tidak releven di Negeri Selangor.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Negeri Selangor Darul Ehsan




Comments