top of page

Kesan Undi18, Persempadanan Pilihan Raya Yang Buruk



Oleh: Thomas Fann


ULASAN: Dengan pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Secara Automatik (PPSA) pada 16 Januari 2022, sebanyak 5.8 juta pemilih telah ditambah kepada 15.3 juta yang sedia ada menjadikan daftar pemilih kita berjumlah 21.1 juta. Berbanding 14.9 juta pada PRU14, peningkatan ini mendadak sebanyak 41.6%.


Bagaimanakah taburan pengundi baru ini? Adakah kesemua 222 kerusi parlimen dan 600 kerusi DUN akan ada peningkatan berkadaran sehingga 41.6%? Daripada data yang saya miliki setakat ini, peningkatan tersebut adalah antara 20 dan 80 %, dengan kawasan bandar menunjukkan peningkatan tertinggi kerana Undi18 dan PPSA. Hal ini jauh daripada taburan yang adil dan memburukkan lagi saiz kawasan pilihan raya yang sangat tidak seimbang sekarang di Malaysia.


Menurut laporan Projek Integriti Pilihan Raya pada 2017, Malaysia mempunyai sempadan pilihan raya antara yang paling teruk di dunia dengan saiz pilihan raya yang tidak seimbang (malapportionment) dan sempadan yang tidak menuruti sempadan pentadbiran atau pembahagian kampung atau kawasan perumahan yang tidak masuk akal (secara gerimander). Ini adalah manipulasi sempadan pilihan raya secara struktural supaya keputusan pilihan raya menguntungkan parti politik tertentu sebelum satu undi pun dibuang dalam pilihan raya.


Nisbah penduduk - kawasan tidak seimbang


Persempadanan terakhir pada 2015 (Sarawak), 2017 (Sabah) dan 2018 (Semenanjung) tidak mengembalikan saiz kawasan pilihan raya kepada “lebih kurang sama banyak” atau “pemeliharaan hubungan tempatan” seperti peruntukan Seksyen 2(c) dan 2(d) Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan, tetapi sebaliknya memburukkannya.

Thomas Fann

Sebagai contoh, sisihan antara kerusi terbesar dan terkecil Parlimen di Selangor adalah antara 1 kepada 3.4 antara P.92 Sabak Bernam (37,318) dan P.109 Kapar (144,159) sebelum persempadanan 2018 oleh SPR. Selepas persempadanan, kadar tersebut menjadi 1 kepada 4.4 antara Sabak Bernam (40,863) dan kerusi terbesar P.102 Bangi (178,790).


Dengan Undi18 dan PPSA, Bangi yang sudah pun merupakan kerusi parlimen terbesar dalam negara, akan melihat peningkatan pemilih sehingga lebih 295,000 dan akan menjadi lebih 300,00 pada PRU15. Sabak Bernam yang mempunyai lebih 51,000 pemilih, menjadikan kadar keduanya 1 kepada 5.8. Ini baru persempadanan tidak seimbang dalam negeri Selangor. Jika dibandingkan Bangi dan P.207 Igan di Sarawak dengan 28,000 pemilih pasca-Undi18 dan PPSA, kadarnya adalah 1 kepada 10.5. Mudahnya, pengundi di Igan bernilai 10 kali ganda daripada pengundi di Bangi dan nilai undi seorang pengundi di Sabak Bernam adalah 6 kali lebih daripada Bangi.


Adakah masuk akal untuk mentafsir garis panduan perlembagaan untuk mempunyai bahagian pilihan raya "lebih kurang sama banyak" atau walaupun anda membenarkan "ukuran pewajaran untuk kawasan daerah desa", mempunyai penyimpangan pembahagian sedemikian? Ia seperti mengatakan nilai Pound Britain (RM5.64 kepada GBP1) adalah sama dengan Ringgit kita, atau 1 Baht Thailand bersamaan dengan 1 Ringgit. Jika itu benar, sila bayar gaji saya dalam British Pound! Ia sama sekali tidak logik, tidak jujur, tidak adil dan tidak berperlembagaan.


Bagaimana mengurangkan ketidakadilan


Apa yang dapat dibuat untuk memperbaiki situasi ini?


Perlembagaan Persekutuan menyatakan tempoh persempadanan semula adalah tidak kurang daripada 8 tahun daripada persempadanan terakhir, bermakna Sarawak pada 2023, Sabah 2025 dan Malaya 2026. Tetapi persempadanan dapat dicetus dalam masa 8 tahun sekiranya:


(1) Wilayah di Malaysia berubah. Menjajah negara jiran seperti Singapura atau kehilangan Sabah kepada Filipina atau Sarawak merdeka akan mencetuskannya.

(2) Wilayah Persekutuan baharu diisytiharkan. Mungkin menjadikan Pulau Jerejak sebagai tanah jajahan semula dan meletakkannya di bawah kerajaan Persekutuan?

(3) Menambah (atau mengurangkan) kerusi Parlimen dengan meminda Perkara 46. Ini adalah laluan biasa dan kurang melampau yang boleh diambil.


Fakta yang kurang diketahui ramai adalah persempadanan seluruh negeri boleh dicetuskan sekiranya DUN menambah atau mengurangkan bilangan kerusi mereka. Dengan mensempadankan kerusi DUN, sempadan kerusi Parlimen juga akan berubah kerana undang-undang menyatakan kerusi DUN tidak boleh melangkau sempadan kerusi Parlimen.


Namun adakah dengan mencetuskan persempadanan semula sekarang dapat menyelesaikan pembahagian kawasan yang tidak seimbang dan gerimander agar PRU15 dilaksanakan dengan sempadan yang lebih baik?


Seperti yang dinyatakan, secara undang-undang tidak mustahil untuk mencetuskan persempadanan lebih awal tetapi hari demi hari, ia secara praktikalnya hampir mustahil jika kita ingin sempadan patuh perlembagaan sebelum PRU15. Undang-undang hanya membenarkan SPR untuk mengambil masa selama 2 tahun untuk menyiapkan persempadanan baharu dan SPR menunjukkan mereka dapat melaksanakannya dalam tempoh setahun setengah sebagaimana dibuat dahulu. Namun penggal Parlimen ke-14 akan tamat pada 16 Julai 2023 dan PRU15 perlu dibuat dalam tempoh 60 hari. Masa semakin suntuk untuk mencetuskan persempadanan semula sebelum PRU15.


Boleh dapat persempadanan adil?


Persoalan lebih utama adalah, “Adakah kita akan mendapat sempadan lebih adil sekiranya ada persempadanan semula?”. Malangnya jawapannya mungkin “Tidak”. Manipulasi sempadan pilihan raya adalah hampir setua negara ini dan ia dilaksanakan oleh satu-satunya badan yang diamanahkan dengan tugas ini iaitu SPR. Walaupun ada panduan perlembagaan, birokrat “Saya Yang Menurut Perintah” hanya akan memberikan alasan untuk melindungi ketidakadilan dan pelanggaran semangat Perlembagaan untuk persempadanan.


Punca kepatuhan dan kurang kebebasan (atau keberanian!) itu kerana ahli-ahli SPR semuanya dilantik oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri bersendirian dan SPR dianggap sebagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Peruntukan semuanya daripada PM dan staf daripada perkhidmatan awam. Pesuruhjaya biasanya daripada penjawat awam yang berpencen pada umur 60 tahun dan berkhidmat sehingga 66, umur wajib bersara di SPR. Pada pandangan saya, bukanlah tempat terbaik untuk mencari reformis atau orang yang berani buat perubahan.


Kita memang perlukan SPR yang bebas atau lebih baik, Suruhanjaya Persempadanan yang bebas dan terpisah untuk menjalankan tugas pilihan raya yang mustahak ini, iaitu persempadanan kawasan pilihan raya yang adil. Namun kebebasan tanpa akauntabiliti boleh menjadi tak terkawal. Justeru SPR perlu diletakkan di bawah pengawasan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pilihan Raya di bawah Parlimen yang dianggotai oleh wakil-wakil pelbagai parti, bagi memastikan campurtangan minimum daripada Eksekutif.


Yang rugi akibat sempadan yang tidak seimbang adalah pemilih di kawasan bersaiz besar seperti Bangi (295,000), Kota Raja (238,000), Damansara (237,000), Iskandar Puteri (219,000), Tebrau (217,000) dan Klang (208,000). Bukan sahaja nilai undi mereka kurang daripada pemilih di bahagian lain di Malaysia, mereka juga sangat kurang diperwakilkan. Bolehkan anda membayangkan seorang Ahli Parlimen berkhidmat dan mewakili kehendak lebih 200,000 pengundi?


Generasi muda perlu bangkit


Kerusi yang lebih kecil bukan sahaja mudah untuk berkhidmat dan diwakili tetapi juga apabila ingin membeli undi, ianya lebih murah dan lebih berkemungkinan untuk melihat politik wang, naungan dan politik identiti dimainkan. Ini menjelaskan mengapa penggunaan agama dan bangsa akan berterusan, dan sekatan untuk akta pendanaan politik untuk mengawal dana kepada parti akan sentiasa ada walau siapapun memegang kuasa.


Jadi apa yang kita dapat lakukan? Adakah selamanya kita akan ditunggang oleh politikus yang hanya menggunakan jawatan mereka untuk mempermainkan sistem pilihan raya kita untuk kekal berkuasa? Adakah langsung tiada apa yang kita boleh lakukan untuk memecahkan kubu mereka dan mengembalikan semangat demokrasi sebenar negara kita, di mana kita mempunyai kerajaan daripada rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat?


Saya tahu ianya satu cabaran untuk memperjuangkan sempadan yang adil dan reformasi yang lain tetapi perubahan terjadi langkah demi langkah setiap kali kita mengundi. Kita mengundi untuk calon dan parti yang benar-benar komited untuk memperbaharui sistem pilihan raya dan politik kita. Biarkan mereka berjanji dengan jelas, secara umum dan khusus dalam manifesto mereka. Tolak sesiapapun yang kabur atau diam untuk mengembalikan hak pengundi dan membaiki sistem yang rosak ini. Bangkitlah rakyat, terutamanya 58 peratus pengundi di bawah umur 40 tahun. Ayuh kita undi, undi, undi.


_____________________________________________________________________________

Thomas Fann merupakan pengerusi Bersih 2.0 yang berjuang untuk pilihan raya yang bersih dan adil

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page