top of page

Kos penghantaran ubat 80,000 pesakit ditanggung kerajaan mulai Julai

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read
Datuk Fahmi (kiri, berdiri) menyaksikan majlis tandatangan dokumen penghantaran ubat. Foto: Fb Fahmi
Datuk Fahmi (kiri, berdiri) menyaksikan majlis tandatangan dokumen penghantaran ubat. Foto: Fb Fahmi

Kerajaan MADANI akan menanggung sepenuhnya kos penghantaran ubat kepada 80,000 pesakit yang layak di bawah Program Ubat Melalui Pos (UMP) bermula Julai ini.


Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA), di Putrajaya pada Isnin.


"Pesakit yang layak di bawah program UMP tidak lagi perlu menanggung kos penghantaran ubat mereka sendiri.


"Kita harap menjelang bulan 7 (Julai) ini dah boleh mula di setiap negeri. Jadi (kos penghantaran) tidak perlu lagi ditanggung oleh mana-mana pihak, terutama oleh para pesakit sendiri. Jadi akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan," katanya dipetik.


Sementara itu jelasnya, pemilihan pesakit yang layak menerima manfaat itu akan ditentukan sepenuhnya oleh KKM di bawah program UMP, manakala perkhidmatan penghantaran akan diuruskan melalui Pos Malaysia sebagai pemegang lesen di bawah MCMC.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai sementara itu menganggarkan inisiatif itu akan melibatkan kos RM5.69 juta setahun yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi dan MCMC.


PERSADA diperkenal bagi mempercepat transformasi digital sektor kesihatan menerusi peluasan capaian internet, sistem rekod perubatan elektronik dan perkhidmatan telekesihatan.


Antara lain, ia bagi memastikan semua hospital dan klinik kesihatan kerajaan dilengkapi capaian internet berkualiti tinggi bagi menyokong pelaksanaan sistem kesihatan digital negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page