Oleh: Syed Mohd Al-Amin bin Tuan Sharif
Kertas Pandora atau Pandora Papers adalah pendedahan hampir 12 juta dokumen-dokumen sulit yang mengandungi data, maklumat tentang kekayaan tersembunyi, pengelakkan cukai dan bagi sesetengah kes, melibatkan pengubahan wang haram oleh individu tertentu yang terdiri daripada para jutawan, penjenayah terancang, selebriti, ahli perniagaan, pemimpin agama dan ahli politik dari seluruh dunia.
Golongan ini menyimpan wang mereka di bank-bank di luar negara yang kebal atau selamat daripada disiasat atau diketahui oleh pihak berkuasa negara masing-masing. Ada juga di antara individu-indidvidu ini yang melaburkan aset dan hartanah atas nama syarikat yang tidak menyebut nama mereka dan menggunakan proksi atau pihak ketiga.
Dokumen-dokumen ini telah disemak dan disiasat oleh lebih 600 wartawan dari 117 buah negara yang meneliti 14 sumber (firma) selama berbulan-bulan. Akhirnya mereka mendapati 336 orang politik dari 90 buah negara memiliki akaun luar pesisir dengan anggaran pemilikan kekayaan puluhan dan ratusan juta ringgit termasuk 118 buah syarikat yang dimiliki individu-individu warga Malaysia.
Dewan Rakyat tolak bahas usul Pandora
Pada 4 Oktober 2021, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang telah mengemukakan permohonan kepada Datuk Azhar Harun selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya isu Kertas Pandora ini dibahaskan di Parlimen Malaysia.
Dalam usulnya, Datuk Seri Anwar meminta dewan yang bersidang membincangkan laporan Kertas Pandora yang mendedahkan kemungkinan transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara membabitkan beberapa tokoh politik dan ahli perniagaan Malaysia.
Walau bagaimanapun usul dan rayuan usul Datuk Seri Anwar berhubung perkara tersebut telah ditolak oleh Datuk Azhar Harun.
Malah Datuk Azhar Harun menyatakan hasil semakan beliau sendiri, sesetengah saham (merujuk pegangan saham oleh ahli politik dan perniagaan Malaysia yang terkait dalam Kertas Pandora) berpandukan maklumat di luar sana, nilainya hanya sekecil £5 (lima pound) sahaja dan bukan bernilai berbilion!
Sedangkan telah terdedah dari Kertas Pandora, pemilikan warga Malaysia sebesar lebih RM 1 trillion!
Belanjawan Terengganu besar, hasil tidak nampak
Walaupun isu Kertas Pandora ini hangat diperkatakan oleh pelbagai lapisan rakyat Malaysia di seluruh negara, namum rakyat Terengganu tidak begitu terkesan dengan pendedahan Kertas Pandora ini.
Rakyat Terengganu tidak begitu memberi perhatian tentang siapa yang terlibat dan sebanyak mana kekayaan yang disimpan dalam akaun-akaun luar pesisir yang dibincangkan tersebut.
Mungkin sebab ianya tidak berkaitan dengan mana-mana orang di Terengganu. Lalu, ia bukanlah keperluan kepada orang-orang Terengganu untuk mengambil berat soal pendedahan Kertas Pandora ini.
Baiklah, mari kita renung sejenak.
Sejak tahun 2010, malah mungkin lebih awal dari itu, belanjawan Negeri Terengganu secara purata telah melebihi RM2,000 juta setahun termasuk peruntukan belanjawan tambahan.
Dalam erti kata lain, kerajaan yang memerintah Negeri Terengganu sejak 2010 hingga sekarang telah membelanjakan lebih RM20,000 juta (dua puluh ribu juta) atau RM20 bilion dalam tempoh 10 tahun terakhir ini.
Dalam pembentangan belanjawan tahun 2011 di Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 13 Disember 2010 oleh Menteri Besar (ketika itu) Datuk Seri Ahmad Said telah membentangkan belanjawan Negeri Terengganu bagi 2011 sebanyak RM1,887 juta (RM1.887 bilion).
Dalam perbahasan tahun itu juga, ADUN Wakaf Mempelam YB Haji Mohd Abdul Wahid bin Endut menyatakan bahwa Terengganu merupakan negeri tertinggi belanjawannya berbanding semua negeri di Semenanjung, mengatasi belanjawan negeri maju Selangor yang hanya RM1.43 bilion, Pulau Pinang sekadar RM900 juta dan Johor RM814 juta.
Ini bermakna Negeri Terengganu telah menikmati perbelanjaan yang sangat besar (huge) dalam pengurusan negeri!
Namun, apa yang malang dan menjadi tanda tanya sejak 10 tahun kebelakangan ini tidak banyak perubahan yang ketara dari sudut taraf hidup penduduk negeri dan kekuatan ekonomi negeri.
Hasil negeri terlalu bergantung kepada petroleum
Pola segmen hasil utama kerajaan Terengganu sejak 10 tahun tidak banyak berubah di mana 85% hasil negeri disumbangkan oleh wang royalti minyak (atau apa jua nama) dan hanya 15% disumbangkan oleh hasil-hasil lain dalam negeri Terengganu sendiri.
Ini bermakna pentadbiran Kerajaan Terengganu yang ditadbir sama ada oleh Umno atau Pas tidak banyak menekankan anjakan peralihan segmen hasil utama kerajaan kepada bidang-bidang ekonomi yang lebih berdaya saing seperti hasil dari sektor pengeluaran industri.
Tidak kelihatan juga langkap-langkah konkrit memperkasakan pemain-pemain industri dalam sektor minyak dan gas sama ada industri hiliran atau industri huluan, walhal mereka ini salah kumpulan yang memakmurkan ekonomi Terengganu.
Begitu juga tiada pelan yang menyakinkan bagi peningkatan perusahan-peruhanan lain dalam sektor-sektor pertanian, perikanan dan pelancongan, yang akhirnya boleh memberikan hasil cukai dan pendapatan lain kepada akaun negeri.
Kesejahteraan untuk rakyat seolah-olah diukur dengan apa yang kerajaan telah belanjakan dan bukannya nilai masa depan ekonomi negeri dan kelestarian peningkatan taraf hidup rakyat marhean kecapi.
Perbelanjaan negeri yang besar saban tahun sejak 10 tahun kebelakangan ini melebihi angka kumulatif RM20,000 juta atau RM20 bilion merupakan satu “rahmat agung yang turun dari langit” kepada rakyat Terengganu.
Tidak salah jika dikatakan sejak lebih 40 tahun lalu bahawa pentadbiran Kerajaan Terengganu adalah pentadbiran pengguna dan bukannya pentadbiran pengeluar
Rakyat miskin tetapi pemimpin kaya
Apa yang menjadi persoalan, taraf hidup rakyat dan pembangunan negeri sangat tidak setimpal dengan perbelanjaan yang dibelanjakan. Masih terdapat rakyat miskin dan miskin tegar yang sepatutnya boleh keluar dari kepompong kemiskinan jika perancangan yang baik dan tiada ketirisan dalam pengurusan dana negeri yang sebesar RM20 ribu juta itu?
Sebagai rakyat Terengganu yang dibesarkan dalam suasana pentadbiran Kerajaan Melayu-Islam Terengganu, sudah tentunya setiap dari kita ingin melihat permasalahan rakyat di tangani secara bersungguh-sungguh, telus dan amanah.
Rakyat sedar dan sedang memerhati, malah sejak 10 tahun lalu, rakyat boleh menilai bagaimana seseorang ahli politik yang menjadi anggota pentadbiran atau pimpinan kerajaan yang berpendapatan tetap sekitar RM15-25 ribu sebulan boleh berubah gaya hidup dari sederhana kepada mewah dan menjadi kaya-raya.
Atau mungkinkah sesetengah mereka juga memiliki akaun di luar negara?
Sebagai rakyat, kita doakan agar tiada individu yang menjadi wakil rakyat kita atau ahli politik di Terengganu yang terpalit sama dalam Kertas Pandora.
Namun, sekiranya ada yang terlibat dengan senarai Kertas Pandora ini maka amat malanglah kita rakyat Terengganu yang pernah memberi mandat kepada mereka dan parti mereka memerintah Negeri Terengganu selama ini.
Andai kata ia benar-benar berlaku di kalangan ahli-ahli politik Terengganu, dari parti-parti yang pernah memerintah Terengganu, kita sebagai rakyat wajib menolak kejahatan dan pencabulan amanah rakyat yang sedemikian.
Ketika ini penelitian terhadap senarai individu terlibat dalam Kertas Pandora sedang dibuat oleh pihak-pihak tertentu termasuk pihak berkuasa. Semoga kita semua dijauhi dari pimpinan bangsa yang korup dan tidak amanah.
__________________________________________________________________________________
Syed Mohd Al-Amin bin Tuan Sharif adalah Ketua Penerangan Negeri KEADILAN Terengganu
Comments