top of page

Indonesia hadkan beli minyak, jimat bekalan bahan api

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
KENDERAAN beratur untuk mengisi petrol di sebuah stesen minyak milik Pertamina di Indonesia, 1 April 2026. Foto Ihsan: Pertamina
KENDERAAN beratur untuk mengisi petrol di sebuah stesen minyak milik Pertamina di Indonesia, 1 April 2026. Foto Ihsan: Pertamina

Kerajaan Indonesia mengumumkan langkah mengehadkan pembelian bahan api kepada maksimum 50 liter bagi setiap kenderaan sehari selain melaksanakan dasar kerja dari rumah (WFH) sebagai usaha menjimatkan tenaga susulan lonjakan harga global akibat konflik Asia Barat.


Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto berkata langkah tersebut bertujuan memastikan pengagihan bahan api kekal terkawal.


“Bagi memastikan pengagihan bahan api berjalan lancar kerajaan akan mengawal pembelian dengan had munasabah iaitu 50 liter bagi setiap kenderaan,” katanya dalam sidang media secara maya, lapor agensi berita CNA baru-baru ini.


Menurut beliau, penjawat awam akan bekerja dari rumah setiap Jumaat dan penggunaan kenderaan rasmi dikurangkan sehingga 50 peratus manakala perjalanan rasmi kerajaan pula dipotong sehingga 70 peratus.


Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada sektor kritikal termasuk kesihatan, keselamatan, tenaga serta bekalan air dan makanan, katanya.


Kerajaan menganggarkan langkah tersebut mampu menjimatkan antara 121 hingga 130 trilion rupiah (kira-kira AS$7.1 hingga AS$7.6 bilion), dan akan dikaji semula setiap dua bulan.


Langkah itu diambil susulan kenaikan mendadak harga minyak dunia sejak tercetusnya konflik Asia Barat pada 28 Februari lalu dengan harga minyak mentah kini melepasi paras AS$100 setong berbanding unjuran awal AS$70.


Walaupun beberapa negara serantau telah menaikkan harga bahan api, Jakarta menegaskan tiada pelarasan harga akan dilakukan dalam masa terdekat.


Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Tenaga, Bahlil Lahadalia menggesa rakyat menggunakan pengangkutan awam atau kenderaan elektrik bagi mengurangkan kebergantungan kepada petrol.


“Kami memerlukan sokongan dan kerjasama rakyat. Gunakan bahan api secara berhemah dan bijak,” katanya.


Indonesia yang merupakan ekonomi terbesar Asia Tenggara masih mengekalkan subsidi bahan api yang tinggi, dianggarkan bernilai AS$12.3 bilion atau sekitar lima peratus daripada keseluruhan bajet tahunan 2026.


Namun, penganalisis berpandangan tekanan fiskal mungkin memaksa kerajaan menilai semula dasar tersebut memandangkan undang-undang menetapkan defisit fiskal tidak boleh melebihi tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Selain itu, kerajaan turut mengumumkan pengurangan satu hari seminggu bagi program makanan percuma di sekolah kecuali di kawasan yang mempunyai kadar kekurangan zat makanan tinggi.


Sekolah masih akan beroperasi secara fizikal manakala pelaksanaan kerja dari rumah bagi sektor swasta sedang dipertimbangkan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page