Pembangkang hidup dengan manipulasi isu harga minyak - Lokman
- Helmi Mohd Foad

- Mar 30
- 2 min read

Pembangkang Malaysia didakwa hidup melalui penyelewengan fakta dengan mengelirukan rakyat berkaitan krisis bahan api global yang dihadapi masyarakat susulan konflik di Asia Barat.
Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata pembangkang memilih untuk berpura-pura tidak tahu daripada mengakui hakikat bahawa harga bahan api global meningkat tinggi akibat gangguan bekalan.
"Apabila bekalan terancam, harga akan meningkat. Semudah itu. Tiada retorik politik yang mampu mengubah cara pasaran global berfungsi.
"Namun, daripada mengakui hakikat ini, pembangkang memilih untuk berpura-pura tidak tahu. Mereka seolah-olah tidak melihat apa yang berlaku di depan mata," katanya dalam kenyataan.
Lokman berkata Malaysia tidak sedang menghadapi krisis bahan api akibat kelemahan kerajaan sebaliknya negara berdepan realiti ekonomi yang mencengkam seluruh dunia.
"Namun pembangkang terus memutar belit seolah-olah fakta itu tidak penting. Harga bahan api tidak pernah ditentukan secara sewenang-wenangnya.
"Ia berkait secara langsung dengan pasaran komoditi global, di mana penawaran dan permintaan menentukan harga. Ini adalah asas ekonomi yang tidak boleh disangkal," ujar beliau.
Lokman berkata, ketegangan melibatkan Iran bukan satu isu terpencil kerana dunia sedang berdepan ketidaktentuan apabila perang di Timur Tengah mengganggu rantaian bekalan petroleum dan mendorong kenaikan harga.
"Ini bukan kekeliruan tetapi sesuatu yang disengajakan. Mereka (pembangkang) berpura-pura jahil untuk membangkitkan emosi, dengan harapan rakyat akan terikut dengan kemarahan yang direka.
"Lalu mereka menunggang isu subsidi bahan api, memutar naratif demi meraih keuntungan politik murahan. Tiada penyelesaian sebenar ditawarkan, hanya kebisingan dan penipuan," bidasnya.
Bagaimanapun jelas Lokman, majoriti rakyat memahami situasi krisis antarabangsa dan mereka dapat melihat dengan jelas sandiwara politik pembangkang yang cuba mempermainkan kebijaksanaan rakyat.
Ujarnya, serangan pembangkang semakin tidak berkesan kerana rakyat tidak lagi mudah terpedaya dengan permainan menyalahkan pihak lain yang dibungkus kononnya sebagai keprihatinan.
Jelas beliau pembangkang yang berkesan sepatutnya menawarkan alternatif dan memainkan peranan semak dan imbang.
"Sebaliknya, kita berdepan dengan kelompok yang hidup atas penyelewengan fakta, bukan penyelesaian.
"Tanpa ragu anggota pembangkang yang ada sekarang adalah yang terburuk pernah disaksikan di Malaysia sejak merdeka, mereka lantang tapi kosong selain berpisah daripada realiti," katanya lagi.




Comments