top of page

Kabinet setuju kerja dari rumah bermula 15 April, kurang guna bahan api

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Apr 1
  • 2 min read
DS Anwar dalam taklimat ringkas di Putrajaya menyentuh isu perang Asia Barat, bahan api dan kerja dari rumah
DS Anwar dalam taklimat ringkas di Putrajaya menyentuh isu perang Asia Barat, bahan api dan kerja dari rumah

Kabinet hari ini bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah bagi kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April ini, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata, langkah di bawah Inisiatif Sokongan Rakyat itu bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga.


"Perincian lanjut akan diumumkan nanti dalam masa yang sama, saya ingin tegaskan bahawa kerajaan bertindak menampan impak krisis tenaga global ini menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat," katanya dalam taklimat ringkas di Putrajaya, hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan setakat ini jumlah belanja untuk menyerap impak peningkatan harga minyak yang mencecah RM4bilion satu bulan.


"Jadi ini bukan perkara kecil orang-orang yang menyinggung hal ini harus tahu bahawa kerajaan membantu rakyat tambahan RM4 bilion ringgit, ini untuk menahan.


"Tetapi tentu keupayaan itu terbatas dan lihatlah pengalaman negara-negara lain," ujarnya.


Justeru itu Perdana berkata rakyat sama ada peniaga, nelayan atau pekerja yang mempunyai cadangan boleh mengemukannya kepada Majlis Tindakan Ekonomi yang bermesyuarat setiap hari bagi mencari jalan penyelesaian.


Jelasnya lagi usaha lain yang dipergiatkan termasuk jaminan bekalan tenaga negara selain mempelbagaikan sumber import minyak dan gas dari negara lain.


"Kita bekerja dalam keadaan yang luar biasa dengan cabaran yang meningkat tetapi ini tidak mungkin memadamkan karenah orang-orang yang terus berdusta, membenci, sabotaj dan khianat," ujarnya.


Dalam pada itu, Perdana Menteri menegur tentang banyak berita palsu tentang kenaikan harga minyak dan harga barang.


"Maka, kita tidak ada pilihan melainkan memohon pihak berkuasa, baik PDRM atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan, kerana setakat ini SKMM telah mengesan 96 kandungan berita palsu mengenai harga minyak dan elektrik di media sosial," ujarnya.


Sambil menyelar perbuatan itu, Anwar menyifatkan ia sebagai perbuatan khianat bagi meraih keuntungan politik murahan ketika rakyat mengalami kesusahan akibat kesan peperangan di negara lain.


"Saya ingin sekali lagi menyeru rakyat memilih, menyaring berita dan mencari fakta yang betul dan cuba sama-sama memantau keadaan, semak dengan rapi dan mengambil langkah untuk menyelamatkan keluarga kita,masyarakat kita dan negara kita," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page