Urus beza pandangan elak calar imej parti, gesa pemimpin akar umbi
- Akmal Manaf

- 5 hours ago
- 1 min read

Sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan anggota dan pemimpin KEADILAN perlu disalurkan secara dalaman bagi memastikan keharmonian organisasi meski parti ini menjunjung prinsip keterbukaan dan kebebasan bersuara, demikian gesa seorang pemimpin akar umbi.
Ketua Cabang KEADILAN Kota Bharu, Abu Hamid Muhammad Abu Samah berkata pihaknya memandang serius perkembangan mutakhir melibatkan kenyataan terbuka Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa menimbulkan polemik dan memberi kesan kepada imej serta kestabilan parti.
"Kami berpandangan, tindakan membawa isu secara terbuka tanpa penyelesaian dalaman hanya akan membuka ruang kepada persepsi negatif dan dimanipulasi pihak lawan sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap parti.
"Dalam situasi politik semasa, kestabilan dan keutuhan parti adalah amat penting bagi memastikan agenda reformasi dapat terus dilaksanakan dengan berkesan," kata beliau dalam kenyataan.

Dalam kenyataan terbaru Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden KEADILAN dilihat membidaskan pelaksanaan subsidi bersasar melalui inisiatif BUDI95 yang disifatkannya sebagai separuh masak.
Beliau yang meletakkan jawatan Menteri Ekonomi selepas tewas pemilihan parti pada tahun lalu mengakui perkara tersebut merupakan perbezaan pandangannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Abu Hamid menggesa kepimpinan parti mengambil pendekatan tegas secara berhemah dalam menangani isu ini bagi memelihara maruah dan integriti parti.
Dalam hal ini, beliau menegaskan pihaknya kekal komited menyokong kepimpinan kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
"Fokus utama kita adalah untuk membela rakyat, memperkukuh ekonomi dan menjamin kestabilan politik negara.
"Kami menyeru semua pimpinan agar mengelakkan polemik yang merugikan parti dan negara,’’ ujarnya lagi.




Comments