Kerjasama strategik Malaysia-AS atas prinsip keadilan, jamin keamanan serantau
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 1 min read

Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat (AS) atas landasan prinsip keterbukaan, keadilan dan hormat-menghormati demi menjamin kestabilan, kemakmuran dan keamanan serantau serta sejagat.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkara itu ketika pertemuan bersama Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent di Gyeongju, Korea Selatan.
Beliau berkata pertemuan di luar sidang Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Keriasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) itu secara tidak langsung meneruskan momentum hubungan erat yang telah terjalin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
"...memberi ruang untuk kami membincangkan pelbagai aspek hubungan perdagangan serta kewangan antara Malaysia dan AS," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata Bessent turut mengulangi penghargaan kepada Malaysia atas layanan baik yang diberikan kepada Presiden Donald Trump dan delegasi AS sewaktu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Saya sekali lagi sampaikan ucapan terima kasih kepada Presiden Trump atas kunjungan yang mencerminkan iltizam tinggi kepimpinan AS dalam memperkukuh hubungan dua hala yang konstruktif, saling menghormati dan membawa manfaat bersama," katanya.
Perdana Menteri berkata pihaknya menghargai peranan serta sumbangan beliau dalam memperkukuh kerjasama ekonomi global di samping usaha memperluas jaringan pelaburan, perdagangan dan keamanan yang inklusif berasaskan dialog, keadilan serta saling memahami.
"Tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkukuh pertalian ekonomi dua hala, termasuk komitmen bersama antara Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia dalam memastikan dasar pertukaran mata wang yang berdaya tahan, kestabilan pasaran kewangan serta tadbir urus yang telus dan berintegriti," katanya.





