Kerjasama PH-BN Selangor perlu dinilai semula secara strategik - AMK Selangor
- Suara Keadilan

- 21 hours ago
- 2 min read

Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Mohamad Shahrul Adnan (gambar) menggesa Pakatan Harapan (PH) Selangor menilai semula kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) susulan perkembangan kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, tindakan BN bekerjasama dengan PN untuk menentang PH menunjukkan gabungan itu telah mengetepikan semangat Kerajaan Perpaduan ketika berdepan pilihanraya.
"Saya berpandangan sudah tiba masanya Pakatan Harapan (PH) Selangor mengkaji semula kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN) Selangor.
"Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, BN telah memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menentang Pakatan Harapan (PH) di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Tindakan ini menunjukkan bahawa BN sanggup mengenepikan semangat Kerajaan Perpaduan apabila berdepan pilihanraya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shahrul, sekiranya BN bebas menentukan pendekatan politiknya di beberapa negeri seperti Johor dan Negeri Sembilan, PH juga berhak membuat penilaian terhadap bentuk kerjasama sedia ada.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama politik sepatutnya dibina berasaskan kepercayaan, komitmen dan saling menghormati, bukannya berubah mengikut kepentingan pilihanraya.
"Kerjasama politik mestilah dibina atas dasar saling menghormati, kepercayaan dan komitmen."
Bagaimanapun, Shahrul menjelaskan gesaan tersebut bukan bertujuan mengoyahkan kestabilan Kerajaan Perpaduan di Selangor, tetapi memberi syor kepada kepimpinan PH untuk bersiap sedia berdasarkan landskap politik semasa.
"Saya ingin menegaskan bahawa gesaan ini bukan bertujuan menggugat Kerajaan Perpaduan atau menjejaskan kestabilan pentadbiran Selangor.
"Sebaliknya, ia adalah gesaan supaya kepimpinan PH membuat penilaian semula secara jujur dan strategik terhadap bentuk kerjasama politik bersama BN berdasarkan realiti politik," katanya.
Beliau juga berpandangan bahawa PH perlu membuat keputusan yang selari dengan kepentingan parti.
Di Selangor, katanya, kerjasama dengan BN perlu dinilai sama ada memberi manfaat kepada perjuangan parti serta sesuai dengan aspirasi penyokong dan rakyat di negeri ini.




Comments