Kerjasama PH-Bersatu di Selangor: Ambil Kira Kestabilan Politik, Kaum


ULASAN: Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor, Dr Afif Bahardin memberi pengakuan bahawa Kerajaan Madani Selangor dan Bersatu Selangor semakin menghampiri perjanjian persefahaman merentasi parti, persefahaman ini akan memungkinkan Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) disepakati. Perkara ini turut diabsahkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari namun beliau menyatakan rundingan masih berjalan dan terbuka untuk ditambahbaik.
Secara logiknya kerjasama ini bakal memberi kelebihan sokongan dua per tiga untuk sebarang dasar yang ingin digubal oleh Kerajaan Madani Selangor, sokongan Bersatu Selangor menjadikan jumlah sokongan Kerajaan Madani Selangor meningkat kepada 46 ADUN (jumlah keseluruhan kerusi DUN Selangor adalah 56).
Persempadanan semula DUN Selangor
Kelebihan paling ketara yang mampu dilaksanakan melalui kerjasama ini adalah persempadanan semula DUN Selangor dengan pertambahan kerusi di kawasan tertentu. Perkara ini telah disuarakan oleh Datuk Seri Amirudin Shari semenjak tahun 2022, persempadanan semula DUN Selangor pada tahun 2018 melalui saranan SPR tidak membawa kepada penambahan sebarang kerusi (hanya pertukaran sempadan dan nama DUN).
Justeru telah dicadangkan penambahan kerusi DUN Selangor dilakukan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor yang memerlukan undian dua per tiga di DUN Selangor. Penambahan kerusi ini bukan didorong oleh kestabilan politik semata-mata, ia perlu dilaksanakan memandangkan berlaku pertambahan penduduk yang ketara terutama di kawasan-kawasan bandar di Negeri Selangor. Keadaan ini memerlukan beberapa DUN dipecahkan bagi membolehkan khidmat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih efisyen oleh ADN-ADN yang dipilih oleh rakyat.
Bersatu Selangor diperlukan untuk merealisasikan objektif tersebut, namun sokongan Bersatu Selangor tidak datang secara percuma. Terdapat beberapa perkara yang dituntut oleh Bersatu Selangor, namun perkara yang perlu diberi perhatian adalah tuntutan untuk Ahli Dewan Negeri Bersatu dilibatkan dalam proses membuat keputusan pentadbiran di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan dan Negeri Selangor.
Kestabilan, keharmonian kaum diambil kira
Tuntutan ini mempunyai implikasi yang besar kepada halatuju pentadbiran Kerajaan Madani Selangor, persetujuan terhadap tuntutan tersebut bakal memberikan kuasa kepada Bersatu Selangor untuk mengubah dasar dan prinsip PH Selangor yang terbuka kepada keharmonian dan kepelbagaian kaum.
Kestabilan dan keharmonian antara kaum di Selangor dibimbangi bakal tergugat jika berlaku perubahan kepada dasar dan prinsip yang terlalu memfokuskan kepada satu kaum sehingga menimbulkan kegusaran kepada kaum lain. CSA dengan Bersatu Selangor tidak harus melunturkan dasar dan prinsip PH Selangor yang selama ini menjadikan pengundi terus kekal memberi kepercayaan dalam setiap pilihanraya.
Usaha terhadap CSA yang ingin dilaksanakan dalam konteks Negeri Selangor telah dimulakan oleh Datuk Seri Azmin Ali melalui mandat yang diberikan oleh Biro Politik Bersatu. Keadaan ini membuktikan bahawa Bersatu Selangor pada ketika ini lebih memerlukan kerjasama dengan PH Selangor, justeru PH Selangor harus sentiasa berhati-hati dalam perundingan yang sedang berjalan pada masa sekarang.
PH Selangor masih mempunyai kelebihan untuk terus memerintah Negeri Selangor pasca PRN akan datang tanpa persempadanan dan pertambahan kerusi DUN. Bersatu Selangor pula dalam keadaan yang kritikal jika tidak mendapat sokongan dari PH Selangor untuk terus kekal releven menjelang PRN Selangor akan datang. Kelebihan ini perlu dimanfaatkan tanpa perlu terlalu berkompromi dengan tuntutan Bersatu Selangor.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Negeri Selangor Darul Ehsan




Comments