top of page

Sokong undang-undang baharu banteras lumba haram - ABIM

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 day ago
2 min read

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong penguatkuasaan peruntukan baharu bagi membanteras kegiatan lumba haram di bawah Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026, khususnya Seksyen 42A yang menjadikan perbuatan berlumba atau menguji kelajuan di jalan raya sebagai kesalahan khusus.


Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (gambar) berkata, tindakan awal amat penting bagi melindungi pengguna jalan raya sebelum berlakunya tragedi yang boleh mengorbankan nyawa.


Menurutnya, pemeliharaan nyawa atau hifz al-nafs serta larangan memudaratkan diri sendiri dan orang lain menjadi asas pendirian ABIM dalam isu berkenaan.


"Jalan raya ialah ruang bersama, tiada sesiapa berhak mempertaruhkan keselamatan orang awam demi keseronokan atau pengiktirafan," katanya dalam kenyataan.


Ahmad Fahmi turut menghargai usaha penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun menegaskan pelaksanaannya perlu konsisten, profesional, berintegriti dan adil tanpa mengira umur, kedudukan atau jenis kenderaan.


Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan juga tidak seharusnya terhad kepada pelumba semata-mata, sebaliknya perlu menyasarkan penganjur, pembiaya serta pihak yang memudahkan kegiatan lumba haram berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang berkaitan.


Dalam masa sama, ABIM menegaskan kebajikan mangsa dan keluarga perlu diberikan perhatian sekiranya kegiatan itu mengakibatkan kematian atau kecederaan.


Katanya, bantuan berkenaan perlu merangkumi akses kepada rawatan dan pemulihan, sokongan psikososial serta bantuan mendapatkan pampasan yang adil melalui saluran undang-undang.


"Keluarga yang kehilangan punca pendapatan juga memerlukan sokongan," katanya.


Ahmad Fahmi berkata, usaha membanteras lumba haram perlu disertai pembangunan belia berteraskan prinsip keadilan dan islah, dengan mengambil kira pengaruh rakan sebaya, pencarian identiti serta kecenderungan mengambil risiko dalam kalangan golongan itu.


"Memahami puncanya tidak bermakna membenarkan kesalahan," katanya.


Sehubungan itu, ABIM menggesa Kementerian Pengangkutan bersama agensi berkaitan menyelaraskan program pencegahan dan pemulihan menerusi kerjasama rentas kementerian serta pertubuhan masyarakat.


Program berkenaan, katanya, perlu disesuaikan mengikut umur, tahap risiko dan rekod kesalahan, selain merangkumi pendidikan keselamatan jalan raya, pendampingan berterusan serta peluang latihan kemahiran atau pekerjaan mengikut keperluan.


Beliau turut menekankan kepentingan melibatkan keluarga, institusi pendidikan, masjid dan pertubuhan belia bagi menyokong perubahan tingkah laku yang berkekalan.


Selain itu, ABIM menggesa kementerian menerbitkan penilaian keberkesanan pelaksanaan secara berkala, termasuk trend kemalangan, kematian dan kecederaan berkaitan lumba haram serta kadar kesalahan berulang.


Pelaporan itu juga perlu merangkumi jumlah operasi, tangkapan dan sitaan bagi memastikan keberkesanan langkah yang dilaksanakan dapat dinilai secara menyeluruh.


"Ukuran kejayaan ialah berkurangnya kemudaratan di jalan raya dan keberkesanan membimbing belia keluar daripada kegiatan ini," katanya lagi.


Untuk rekod, aktiviti lumba haram dan merempit kini berdepan hukuman yang jauh lebih berat susulan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang mula berkuat kuasa sepenuhnya pada 16 Oktober 2026.


Menerusi pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) ini, kerajaan memperkenalkan Seksyen 42A yang menjadikan aktiviti lumba haram atau menguji kelajuan kenderaan sebagai satu kesalahan khusus.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page