top of page

Jangan alih soalan: Bersediakah Pas terima Zahid sebagai calon PM? - Mahfuz

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 day ago
3 min read

Pas digesa menyatakan pendirian sama ada bersedia menerima Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri (PM) sekiranya Umno dan parti itu mahu bersama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.


Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, persoalan itu perlu dijawab secara jelas dan tidak dialihkan kepada isu penerimaan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.


Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Bendahari Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad pada 3 Oktober lalu yang meminta beliau tidak melayan andaian mengenai kemungkinan Zahid menjadi Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan.


"Saya ingin jelaskan yang beliau dan Pas belum menjawab soalan saya. Saya tidak bertanya sama ada PH menerima Zahid sebagai TPM.


"Saya bertanya bersediakah Pas menerima Zahid sebagai Perdana Menteri jika Umno-Pas membentuk kerajaan?


"Jangan alihkan soalan, TPM bukan PM," katanya dalam satu kenyataan.


Mahfuz menjelaskan, penerimaan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas PRU15 berlaku dalam konteks kebuntuan politik apabila tiada gabungan memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.


Katanya, Pakatan Harapan (PH) mengambil tanggungjawab membentuk Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara, susulan nasihat dan titah Yang di-Pertuan Agong serta proses yang berlangsung ketika itu.


Justeru, beliau menyifatkan tidak tepat untuk menyamakan penerimaan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu dengan persetujuan menjadikannya Perdana Menteri selepas PRU16.


"Maka amat tidak tepat untuk menyamakan penerimaan Zahid sebagai TPM dalam kerajaan pasca-PRU15 dengan persetujuan untuk Zahid menjadi PM selepas PRU16," katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa Pas sebelum ini pernah mempersoalkan kelayakan Zahid memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika berdepan 47 pertuduhan.


Bagaimanapun, Mahfuz menegaskan beliau tidak membuat sebarang kesimpulan mengenai kesalahan Zahid, sebaliknya mahu mengetahui prinsip yang akan digunakan Pas dalam menentukan calon bagi jawatan tertinggi negara.


Mengulas alasan Iskandar bahawa PRU16 masih jauh dan Pas belum membincangkan calon Perdana Menteri, Mahfuz berkata, tempoh itu sepatutnya digunakan untuk menjelaskan pendirian kepada rakyat lebih awal.


Menurutnya, pengundi berhak mengetahui calon Perdana Menteri dan prinsip pemerintahan sesebuah gabungan sebelum memberikan mandat dalam pilihanraya.


"Rakyat tidak sepatutnya hanya mengetahui siapa calon PM selepas mereka memberikan undi. Kalau Umno dan Pas mahu meminta mandat rakyat untuk membentuk kerajaan, rakyat berhak bertanya lebih awal," katanya.


Mahfuz mengemukakan tiga persoalan yang perlu dijelaskan Pas, iaitu sama ada parti itu bersedia menerima Zahid sebagai Perdana Menteri, siapa calon yang akan diketengahkan jika menolak Zahid, atau sama ada parti itu masih belum membuat keputusan.


Beliau berkata, jika Pas bersetuju menerima Zahid, parti itu perlu menjelaskan perubahan pendiriannya berbanding kritikan terdahulu. Jika menolak, Pas pula perlu menyatakan siapa calon Perdana Menteri pilihannya.


"Jika jawab 'belum tahu' maka rakyat pula berhak bertanya, mengapa rakyat diminta memberikan mandat kepada sebuah gabungan yang mereka sendiri belum tahu siapa yang akan menjawat dan memegang jawatan Perdana Menteri?" katanya.


Beliau turut membandingkan pendekatan PH yang menurutnya telah mengisytiharkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sejak awal.


Bagi menggambarkan kepentingan kejelasan sebelum pilihanraya, Mahfuz menggunakan analogi bas yang meminta penumpang menaiki kenderaan dan membayar tambang sebelum menentukan siapa yang akan memandunya.


"Rakyat bukan penumpang tanpa suara," sinisnya.


Justeru, Mahfuz mengulangi desakan supaya Pas menjawab persoalan berkenaan secara terus tanpa mengalihkannya kepada isu lain.


"Saya meminta Pas menjawab satu soalan yang sangat mudah. ‘Bersediakah Pas menerima Zahid sebagai PM?’


"Jangan alihkan tiang gol. Jangan pendekkan pembaris. Jangan tukar neraca. Jawab sahaja, bersediakah Pas menerima Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-11?" katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page