Kerjasama Kerajaan - syarikat semikonduktor ARM ikut prosedur - Akmal Nasir
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan perjanjian antara kerajaan Malaysia dan ARM Holdings Plc - sebuah syarikat teknologi pembuatan semikonduktor terkemuka - tidak mengikut prosedur, dengan memperincikan garis masa proses kerjasama itu secara terperinci.
Beliau menjelaskan, proses pemeteraian kerjasama tersebut sebenarnya telah bermula sejak Sidang Kemuncak KL20 pada 22 dan 23 April 2024, apabila Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan dua pertemuan dengan pihak ARM Holdings.
"Mantan Menteri Ekonomi ketika itu (Rafizi) melakukan perbincangan susulan (follow up). Semasa acara ini, wakil syarikat ARM telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Anwar susulan daripada apa yang kita capai pada KL20.
"Wakil syarikat telah bertemu mantan Menteri Ekonomi pada 21 November 2024 disusuli dengan perbincangan antara ARM dan Datuk Seri Anwar pada 10 Februari 2025.
"Kerjasama dengan ARM juga diputuskan di peringkat pembuat keputusan kerajaan tertinggi di Kabinet," katanya dalam satu siaran video.
Menjelaskan lebih lanjut, Akmal berkata, mesyuarat Jemaah Menteri juga telah membincangkan kerjasama dengan ARM sebanyak dua kali bermula dari 24 Januari 2025 dan 28 Februari 2025.
Jelas beliau, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Kewangan tidak mempunyai halangan terhadap kerjasama itu, namun menetapkan beberapa syarat tambahan yang perlu dipatuhi, antaranya memasukkan klausa penamatan dan pelaksanaan bayaran secara berfasa.
"Perbincangan agak panjang. MITI dan Kementerian Kewangan turut beri maklum balas, syarat yang mereka hendak turut dimasukkan sekali dalam perjanjian tersebut.
"Dengan mengambil kira syarat tersebut telah dipatuhi, Jemaah Menteri pada 28 Februari 2025 telah memberi persetujuan untuk kerjasama ini dimeterai pada 5 Mac 2025 dan akhirnya Jemaah Kabinet bersetuju," katanya.
ARM Holdings Plc merupakan syarikat gergasi semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK) yang berhasrat untuk berpangkalan di negara ini.
Syarikat tersebut terkenal dengan reka bentuk unit pemprosesan pusat (CPU) yang menggunakan seni bina set arahan ARM, teknologi yang digunakan dalam kebanyakan peranti mudah alih dan komputer di seluruh dunia.




Comments