top of page

'Kerjasama Kerajaan Perpaduan negara stabil, Ringgit naik'

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 50 minutes ago
  • 2 min read
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berucap di ceramah Simpang Renggam. Foto : FB Faiz Fadzil
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berucap di ceramah Simpang Renggam. Foto : FB Faiz Fadzil

Semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan menjadi contoh bahawa kestabilan boleh dicapai apabila parti-parti politik mengutamakan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik sempit.


Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, pengalaman negara berdepan krisis sebelum ini menunjukkan betapa pentingnya kestabilan politik dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan ekonomi negara.


Menurutnya, ketika negara berada dalam keadaan tidak stabil, rakyat paling terkesan apabila kehilangan pekerjaan, perniagaan terjejas dan hutang tidak mampu dibayar.


"Apabila negara susah, rakyat hilang kerja, bisnes tutup dan hutang tidak boleh dibayar. Sebab itu soal keamanan dan kestabilan ini perlu dijaga," katanya ketika berucap pada program Siri Jelajah "Johor Ke Depan, Undi Harapan" di Simpang Renggam, malam tadi.


Faiz menegaskan bahawa agenda perpaduan rakyat tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana parti politik, sebaliknya perlu menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa.


"Hanya Pakatan Harapan yang benar-benar ikhlas memperjuangkan perpaduan rakyat. Kita kena bercakap tentang perpaduan semua kaum, bukan Melayu sahaja, tetapi Cina dan India juga rakyat Malaysia," katanya.


Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu menolak mana-mana pihak yang menanam bibit perpecahan dan kebencian dalam masyarakat majmuk.


"Jika ada parti yang menanam bibit perpecahan dan kebencian antara kaum, parti itu perlu ditolak jauh dari Johor.


"Walaupun mereka sering membawa slogan agama, tetapi jika memecah-belahkan rakyat, itu bukan ajaran Islam yang sebenar," katanya.


Menurut beliau, kestabilan politik yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan hari ini membolehkan negara terus berkembang walaupun berdepan cabaran ekonomi global termasuk konflik antarabangsa dan ketidaktentuan pasaran dunia.


Katanya, prestasi ekonomi Malaysia masih kekal kukuh dengan kemasukan pelabur asing, peluang pekerjaan dan bantuan kerajaan kepada rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).


"Alhamdulillah, dengan pengurusan ekonomi yang baik, ringgit kita masih stabil, pelabur terus masuk, rakyat masih mendapat bantuan. Ini semua hasil kestabilan kerajaan," katanya.


Faiz turut menegaskan bahawa kemajuan Johor perlu seiring dengan dasar Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan memandangkan kedudukan negeri itu yang strategik berhampiran Singapura serta kebergantungan tinggi rakyat terhadap peluang pekerjaan rentas sempadan.


"Johor perlu bergerak seiring dengan dasar pembangunan negara kerana ramai rakyat kita bekerja di Singapura. Kestabilan ini penting untuk memudahkan kehidupan mereka," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page