Kerjasama dunia Islam-Rusia perlu jangkaui politik, ekonomi - PM
- Suara Keadilan
- Dec 11, 2024
- 2 min read

Malaysia berpandangan dunia Islam dan Rusia perlu memperluaskan kerjasama mereka melangkaui isu politik malah melibatkan ekonomi sebagaimana ditunjukkan dalam inisiatif blok BRICS.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama tersebut yang juga bersifat budaya agak mendalam kerana ia telah terjalin sejak berabad-abad lamanya.
"Kami yakin bahawa melalui kerjasama berkesan antara pelbagai negara, negara-negara Islam dan negara-negara sahabat, kita mampun menjalin kesefahaman dan pakatan baharu.
"Inilah sebabnya Malaysia memilih untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif BRICS," katanya ketika berucap pada Persidangan Strategic Vision Group Russia-Islamic World: "Interaksi antara Rusia dan Dunia Islam pada Era Kemunculan Multipolar" di Kuala Lumpur.
Anwar berkata, sebagai sebuah negara merdeka Malaysia kini lebih teguh mengambil pendirian bebas dan sangat tegas.
"Oleh itu, kami memilih untuk berinteraksi dengan Barat dan Timur serta kekal konsisten dalam isu kemanusiaan dan keadilan," ujarnya.
Jelasnya, Malaysia mengambil sikap kerjasama dengan Rusia adalah penting bagi menunjukkan negara ini bebas menegaskan haknya dalam persekitaran multipolar.
Bagaimanapun, kata Anwar masalah Islamofobia menjadi cabaran besar malah ia menjadi isu berterusan yang memburukkan apabila ia muncul di seluruh benua dan budaya.
"Sebagai contoh, di Eropah, meskipun dengan ideal progresif tentang kebebasan, persaudaraan, dan kesamarataan terdapat peningkatan tindakan menyasarkan komuniti Muslim.
"Media sosial walaupun alat penghubung yang kuat, sering memperbesar sentimen Islamofobia dengan menyebarkan naratif palsu dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menangani isu Islamofobia, termasuk melalui persidangan ini," ujarnya.
Anwar berkata keadaan dunia pada masa ini penuh tragedi besar yang menimpa kemanusiaan secara keseluruhan juga umat Islam khususnya.
"Dari Gaza ke sebahagian Eropah, peningkatan fasisme, rasisme, ketidaktoleranan, serta tindakan tidak berperikemanusiaan dan kekejaman yang dilakukan terhadap manusia bukan hanya di Palestin malah di banyak bahagian dunia lain.
"Tugas kita, sudah tentu, adalah mempromosikan pemahaman baru tentang toleransi, rahmah, ihsan, dan kemanusiaan kerana inilah yang diajarkan Islam. Adalah penting untuk menggunakan persidangan seperti ini untuk menyampaikan mesej tersebut," ujarnya.
Comments