Kerjasama BN-PN: Umno hadapi laluan sukar, Pas enggan beri kerusi


Umno dijangka berdepan laluan sukar dalam rundingan kerjasama dengan Pas apabila parti agama tersebut didakwa hanya mahu membuka ruang perkongsian kuasa di kerusi yang belum dimenanginya, tetapi menutup pintu kerjasama di kawasan yang telah dikuasai terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dalam lingkungan SG4.
Naib Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, Pas pada hakikatnya merupakan sebuah parti politik yang mempunyai matlamat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Oleh itu, katanya segala strategi dan pendekatan yang digunakan adalah bagi mencapai tujuan berkenaan, selepas parti itu menikmati pengalaman indah menjadi kerajaan ketika era 2020 sehingga 2022.
"Sekarang ini (Pas) ‘menggunakan’ Umno (untuk bentuk kerajaan), kalau nak gunakan Pakatan Harapan (PH) tak boleh. DAP ada dalam PH (dan) DAP tak akan bersetuju, (parti dari) Sabah dan Sarawak pun tak akan bersetuju dengan Pas.
"Tetapi dalam ‘menggunakan’ Umno, mereka (Pas) tak boleh menyembunyikan bahawa mereka ini parti politik yang licik.
"Ia terbukti di PRN Johor dan Negeri Sembilan (apabila) mereka nak ‘mencuba’ masukkan Pas atas dasar kerjasama. Tapi kerusi mereka tak nak bagi (kepada rakan gabungan), itu masalahnya," kata beliau kepada Suara Keadilan.
Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu perlu menguji sejauh mana keikhlasan Pas menggerakkan politik 'penyatuan Melayu' dengan meminta mereka membuktikan formula kerjasama secara praktikal.
Mohamad berkata, ujian berkenaan boleh dilakukan selepas pilihan raya negeri Melaka dan mencadangkan salah sebuah negeri di bawah gabungan pembangkang SG4 mengadakan pilihanraya untuk melihat sendiri formula yang digunakan.
Mengulas lanjut, Azan berkata Umno pula melihat kerjasama politik sebagai usaha untuk memastikan kemenangan di peringkat pusat, bukannya semata-mata berdasarkan kepentingan atau ukuran politik di peringkat negeri.
Namun beliau berpendapat, adalah kurang cerdik sekiranya Umno mengikuti formula yang dicadangkan Pas kekal dengan kerusi yang dimenangi pada pilihanraya terdahulu.
Selain menimbulkan persoalan dan kemarahan akar umbi Umno dalam kerjasama berkenaan, terutamanya di negeri SG4 yang 90 peratus kerusi DUN dimenangi Pas-PN.




Comments