Pekerja gig: Guna formula job nilai rendah potongan platform lebih rendah - Altimet


Pertumbuhan industri ekonomi gig perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan bersih pemandu dan penghantar, bukan sekadar pertambahan jumlah transaksi dalam aplikasi.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad atau Altimet berkata, platform digital kini menjadi antara sumber pendapatan penting rakyat, malah bagi sebahagian pemandu dan penghantar, pekerjaan berkenaan merupakan sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga.
Oleh itu, kata beliau sudah tiba masanya platform e-hailing dan p-hailing menilai semula potongan yang dikenakan daripada pendapatan pemandu dan penghantar.
"Saya berpandangan sudah tiba masanya platform e-hailing dan p-hailing menilai semula potongan yang dikenakan daripada pendapatan driver dan rider, khususnya bagi pekerjaan yang mempunyai nilai bayaran yang rendah.
"Sebagai contoh, jika sesuatu pekerjaan (job) bernilai kecil tetapi potongan platform masih dikira berdasarkan kadar peratusan yang sama, kesannya kepada pendapatan bersih driver atau rider boleh menjadi lebih besar," kata Altimet dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemandu dan penghantar pada masa sama perlu menanggung sendiri pelbagai kos operasi termasuk petrol, penyelenggaraan kenderaan, tayar, insurans, tol, parkir, telefon serta susut nilai kenderaan.
Sehubungan itu, Syed Ahmad mencadangkan platform mempertimbangkan model potongan lebih fleksibel mengikut nilai dan jenis pekerjaan, bukannya bergantung sepenuhnya kepada satu kadar peratusan sama bagi semua tugasan.
"Prinsipnya mudah. Job bernilai rendah, maka potongan platform lebih rendah. Job bernilai lebih tinggi, potongan boleh disesuaikan. Jarak lebih jauh dan kos lebih tinggi, struktur bayaran perlu mengambil kira keadaan tersebut," katanya.
Menurut beliau, cadangan itu bukan bertujuan meminta platform mengorbankan keuntungan, sebaliknya mencari keseimbangan antara kelangsungan perniagaan dengan pendapatan bersih mereka yang melaksanakan pekerjaan di lapangan.
Antara penambahbaikan yang dicadangkan ialah pengurangan potongan platform bagi tugasan bernilai rendah menerusi kadar potongan berperingkat supaya pemandu dan penghantar menerima bahagian lebih munasabah.
Beliau turut mencadangkan jarak perjalanan ke lokasi pengambilan (pickup) diambil kira dalam struktur bayaran kerana kos bekerja bukan hanya bermula selepas penumpang atau barang diambil.
"Bayaran perlu mengambil kira bukan sahaja jarak penghantaran, tetapi juga jarak yang perlu dilalui driver atau rider untuk sampai ke lokasi pickup.
"Masa dan petrol yang digunakan sebelum sesuatu job bermula juga merupakan sebahagian daripada kos bekerja," katanya.
Dalam pada itu, Altimet berpandangan bayaran menunggu perlulah lebih adil, terutama apabila pemandu atau penghantar sudah tiba tetapi terpaksa menunggu akibat kelewatan pelanggan atau premis.
"Masa menunggu ialah masa bekerja dan wajar diberi pampasan yang munasabah," katanya.
Syed Ahmad juga menekankan keperluan ketelusan dalam jumlah potongan dengan pemandu dan penghantar seharusnya dapat melihat nilai sesuatu tugasan, jumlah dibayar pelanggan, jumlah dipotong platform serta jumlah bersih yang diterima.
Katanya, ketelusan itu membolehkan pemandu dan penghantar membuat keputusan lebih baik mengenai pekerjaan yang mahu diterima.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya disediakan saluran rayuan yang jelas dan munasabah apabila akaun pemandu atau penghantar digantung atau dinyahaktifkan, terutama apabila keputusan berkenaan memberi kesan langsung kepada sumber pendapatan mereka.
"Saya ingin tegaskan bahawa cadangan ini bukan serangan terhadap mana-mana platform dan bukan juga bermaksud kerajaan perlu campur tangan dalam setiap keputusan komersial syarikat.
"Sebaliknya, saya menyeru supaya platform sendiri mengambil langkah ke hadapan untuk membina hubungan yang lebih adil dan mampan dengan driver serta rider," katanya.
Beliau berkata, platform menyediakan teknologi dan akses kepada pelanggan, manakala pemandu serta penghantar menyediakan kenderaan, masa dan tenaga selain menanggung sebahagian besar kos operasi di lapangan.
"Kita mahu melihat industri gig terus berkembang kerana ia menyediakan peluang pendapatan kepada rakyat. Tetapi pertumbuhan itu perlu diterjemahkan kepada pendapatan bersih yang lebih baik untuk driver dan rider, bukan sekadar peningkatan jumlah transaksi di dalam aplikasi," katanya lagi.
Justeru, kata Syed Ahmad, platform yang mengambil berat mengenai kebajikan pemandu dan penghantar bukan sahaja mampu membina kepercayaan pekerja gig, malah dapat mewujudkan industri yang lebih stabil dan mampan dalam jangka panjang.




Comments