Subsidi elektrik 800kWj harus diteruskan selepas Disember jika rakyat masih terbeban


Perlindungan subsidi bil elektrik kepada pengguna domestik wajar terus dinilai dan dipertimbangkan selepas 31 Disember ini sekiranya tekanan kos sara hidup masih dirasai rakyat.
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berpandangan tarikh 31 Disember itu tidak seharusnya dilihat sebagai noktah terhadap inisiatif berkenaan, sebaliknya boleh menjadi tempoh semakan.
Pada masa sama, beliau berpendapat, dasar perlindungan rakyat perlu terus dinilai berdasarkan keadaan ekonomi sebenar isi rumah, kos sara hidup dan kemampuan rakyat, bukan semata-mata berdasarkan tarikh.
"Jika tekanan kos sara hidup masih dirasai, maka mekanisme perlindungan ini wajar dipertimbangkan untuk diteruskan, disesuaikan atau diperluaskan mengikut keadaan, sehingga ekonomi rakyat benar-benar berada dalam keadaan yang lebih selesa dan stabil.
"Kerajaan perlu terus mencari keseimbangan antara kemampuan rakyat, kemampanan kewangan negara, keterjaminan bekalan tenaga dan kesihatan kewangan sektor elektrik.
"Inilah pendekatan Malaysia MADANI yang kita harapkan, kerajaan tidak hanya bertindak ketika rakyat mengeluh, tetapi sentiasa mendengar, memantau dan menyesuaikan dasar mengikut realiti kehidupan rakyat," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Yahya menyifatkan keputusan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperluaskan perlindungan subsidi bil elektrik kepada pengguna domestik sehingga penggunaan 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan merupakan langkah yang pragmatik dan bersasar.
Beliau berkata langkah berkenaan amat dekat dengan keperluan rakyat, khususnya ketika cuaca panas dan keadaan jerebu yang boleh menyebabkan penggunaan elektrik isi rumah meningkat menerusi penggunaan penghawa dingin, kipas serta peralatan elektrik lain.
Katanya, apabila penggunaan penghawa dingin, kipas dan peralatan elektrik meningkat, bil elektrik turut meningkat dan dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi perhatian keluarga, sebarang langkah yang dapat mengurangkan tekanan kewangan rakyat sememangnya wajar dihargai.
"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, PETRA, Suruhanjaya Tenaga dan TNB atas tindakan pantas serta kesediaan mencari ruang untuk melindungi pengguna domestik.
"Bantuan yang baik ialah bantuan yang sampai kepada rakyat, mengurangkan beban mereka dan diteruskan selagi ia benar-benar diperlukan.
"Kita mahu rakyat bukan sekadar mampu membayar bil, tetapi mampu menjalani kehidupan dengan lebih tenang, selesa dan bermaruah," ujarnya lagi.




Comments