top of page

Kerajaan usaha bawa pulang anggota MALBATT di Lubnan secepat mungkin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan telah mengarahkan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan perbincangan segera bagi memendekkan tempoh misi, sekali gus membawa pulang anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 di Lubnan lebih awal.


Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan semasa di Lubnan tidak lagi selamat untuk misi pengaman, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan lebih 500 anggota pengaman Malaysia yang berada di sana.


"Keadaan di Lubnan sekarang ini tidak lagi berasaskan kepada misi pengaman. Pasukan itu (Malbatt) merupakan pasukan pengaman, tapi dah perang di sana.


"Kita tidak mahu tentera Malaysia yang menganggotai pasukan pengaman ini tercedera atau terbunuh. Jika keadaan mendesak, PBB diminta menyemak semula terma dan tarikh matang.


"Saya telah arahkan Wakil Tetap Malaysia ke PBB untuk berurusan dengan Setiausaha Agung PBB dan berpakat dengan negara-negara yang menganggotai pasukan pengaman ini untuk memutuskan perkara ini," jelasnya dalam satu acara di Seremban pada Khamis.


Sementara itu menurut Mohamad Hasan, misi pengaman berkenaan dijadualkan akan tamat hujung tahun ini, Malaysia tidak boleh membawa pulang anggota terbabit secara unilateral kerana penugasan tersebut berada di bawah mandat PBB.


Sebagai langkah berjaga-jaga, semua anggota MALBATT telah diarah menghentikan rondaan dan kekal berada di pangkalan.


Baru-baru ini, tiga Perajurit Tentera Nasional Indonesia INDOBATT di Lubnan terkorban akibat kesan tembakan artileri dan letupan Improvised Explosive Devices (IED) semasa menjalankan tugas.

Lubnan ditarik ke dalam konflik Timur Tengah apabila kumpulan bersenjata yang disokong Tehran melepaskan roket ke Israel pada 2 Mac untuk membalas dendam atas pembunuhan pemimpin tertinggi Iran dalam serangan pembukaan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel menentang republik tersebut.


Rejim Israel kemudian bertindak balas dengan serangan meluas di seluruh Lubnan dan serangan darat di selatan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page