top of page

Kerajaan tidak bantu pesawah?

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Dakwaan kononnya kerajaan tidak membantu pesawah tidak tepat sama sekali, sebaliknya pelbagai langkah sedang diambil dalam menghadapi tekanan kenaikan kos akibat krisis tenaga global.


Dalam satu kenyataan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan bahawa kenaikan harga bahan api dunia memberi kesan menyeluruh kepada semua sektor, termasuk pertanian.


"Bila harga bahan api naik, kos pertanian turut meningkat. Baja naik, racun naik, upah membajak pun naik. Pendek kata, hampir semua kos meningkat," katanya.


Menurut Mohamad, kerajaan turut berdepan tekanan kewangan yang besar apabila subsidi bahan api meningkat mendadak daripada sekitar RM700 juta kepada RM6 bilion sebulan.


Dalam masa sama, kerajaan perlu mengimbangi keperluan pelbagai sektor dan menjaga kebajikan lebih 30 juta rakyat Malaysia, bukan hanya kira-kira 200,000 pesawah.


Tambah kenyataan itu, semua kementerian telah membentangkan kesan krisis tenaga global kepada golongan sasaran masing-masing, termasuk kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (Majlis Tindakan Ekonomi Negara) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Kerajaan ketika ini, katanya memberi keutamaan kepada jaminan bekalan makanan asas negara agar kekal stabil.


"Ibarat seorang ayah yang menerima aduan daripada anak-anak, tentulah ayah perlu melihat kemampuan yang ada, dan menentukan siapa yang perlu dibantu terlebih dahulu. Jika ada yang sedikit lewat dibantu, bukan bermakna tidak dipedulikan. Tetapi kerana sedang mencari jalan untuk menambah sumber," katanya.


Antara langkah awal yang telah diluluskan kerajaan, kata Ahli Parlimen Kota Raja itu ialah penambahan stok penimbal beras melibatkan dana lebih RM100 juta. Beberapa cadangan lain seperti penggunaan fleet card untuk jentera pertanian, tambahan insentif pembajakan dan penuaian, serta bantuan kepada pekebun masih dalam penelitian.


Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan bahawa dalam Belanjawan 2026, subsektor padi dan beras menerima peruntukan sebanyak RM2.62 bilion, merangkumi subsidi harga padi, baja dan insentif pengeluaran.


"Jadi tidak adil untuk mengatakan Kerajaan tidak peduli. Permohonan telah pun diangkat sejak selepas cuti Hari Aidilfitri lagi. Namun dalam keadaan krisis, setiap sen perbelanjaan awam perlu diteliti dengan cermat," katanya.


Namun begitu, kementerian menegaskan cabaran utama bukan sekadar jumlah bantuan, tetapi melibatkan struktur industri pertanian yang memerlukan pembaharuan menyeluruh.


Menurut kenyataan itu, usaha transformasi sedang dijalankan termasuk penggunaan teknologi moden, pengurusan berskala besar dan penambahbaikan sistem pengairan, namun hasilnya memerlukan masa.


"Kita boleh mengkritik, itu hak semua. Tetapi biarlah kritikan berasaskan fakta, bukan sentimen atau atas kepentingan politik sempit," tambahnya.


Sehubungan itu, Mohamad menyarankan agar rakyat mengamalkan perbelanjaan berhemah serta mengelakkan pembaziran dan pembelian panik dalam menghadapi ketidaktentuan harga global.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page