Kerajaan teruskan agenda pembangunan di tengah krisis tenaga global
- Suara Keadilan

- 9 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI kekal komited meneruskan agenda pembangunan negara biarpun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan krisis bekalan global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata, komitmen itu terbukti melalui sasaran perbelanjaan pembangunan sekitar RM611 bilion di bawah kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Komitmen tersebut akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek dan program berimpak tinggi secara berstruktur bagi memastikan pembangunan negara dilaksanakan dengan lebih terancang, sekali gus membolehkan Malaysia mencapai tahap kompleksiti ekonomi lebih baik," katanya dipetik.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata begitu kepada pemberita selepas selepas menjadi ahli panel program Invest Malaysia di ibu negara, semalam.
Sementara itu, sebagai mengulas mengenai persediaan peruntukan perbelanjaan 2027, beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya akan memastikan setiap perancangan diteliti secara menyeluruh serta proses tadbir urus dilaksanakan dengan berkesan.
Usaha tersebut bertujuan memastikan peruntukan pembangunan dimanfaatkan untuk projek yang benar-benar memberi manfaat langsung kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
"Setakat hari ini, semua kementerian telah mengemukakan cadangan perancangan pembangunan masing-masing untuk tahun 2027.
"Di peringkat kementerian, ketika ini kita sedang meneliti perancangan tersebut melalui proses bidaan yang akan bermula bulan depan. Insya-Allah, saya juga akan mula meneliti daripada sudut perancangan kita untuk tahun 2027," tambahnya.



Comments