Kerajaan teliti untuk pinda akta bagi kawal inflasi kos perubatan
- Suara Keadilan
- Jul 31
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan dalam proses meneliti beberapa akta berkaitan bagi menyelaraskan usaha menangani peningkatan kos perubatan sekali gus dapat memenuhi strategi digariskan dalam inisiatif kawalan inflasi sektor berkenaan atau dikenali sebagai RESET.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan kepada Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) sedang diperhalusi untuk membolehkan pelaksanaan inisiatif berkenaan dengan pembayaran berdasarkan Kelompok Berkaitan Diagnosis (DRG).
"Pihak kerajaan akan terus mempertimbangkan pindaan kepada akta-akta lain yang berkaitan dengan bidang kuasa kementerian, jika diperlukan, bagi memberdayakan keseluruhan strategi RESET," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang dimuat naik di laman web Parlimen.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah memperkenalkan strategi RESET sebagai kerangka strategik untuk menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan insurans swasta.
Beliau berkata RESET merangkumi lima teras strategik dan 11 inisiatif utama antaranya pembaikan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) melalui pembangunan produk asas MHIT yang akan mengubah suai ciri-ciri produk MHIT dan membolehkan penetapan kadar premium lebih mampan dan stabil dalam jangka panjang.
"Inisiatif ini turut merangkumi penambahbaikan bantuan dan kemudahan untuk pengguna menentukan keperluan dan pilihan MHIT (Revamp MHIT)," ujarnya.
Jelas beliau kerajaan juga mahu meningkatkan ketelusan harga yang lebih meluas melalui pameran harga ubat-ubatan dan penerbitan julat harga perkhidmatan kesihatan lazim bagi membolehkan pengguna membuat keputusan termaklum.
"Inisiatif ini akan turut membangunkan dua mekanisme yang berkaitan iaitu pertama, menghasilkan, memantau dan menerbitkan anggaran kadar inflasi perubatan secara konsisten dan kedua, menetapkan standard pengumpulan data mengenai kos penjagaan kesihatan swasta," kata beliau.
Kata beliau inisiatif itu juga bagi memperkukuh sistem kesihatan digital melalui rekod perubatan elektronik untuk menambah baik kualiti penjagaan dan mengurangkan keperluan untuk mengulang ujian diagnostik.
"Keempat, meluaskan pilihan kos efektif melalui Rakan KKM serta pembekalan hospital lebih mampu milik, termasuk menggalakkan pengembangan hospital bukan berasaskan keuntungan," ujarnya lagi.
Tambah beliau strategi itu juga akan melaksanakan transformasi mekanisme pembayaran penyedia kepada sistem pembayaran Diagnosis-Related Group (DRG).
Katanya langkah itu bagi memastikan pembayaran kos kesihatan berasaskan nilai yang selaras dengan kepentingan pesakit, penyedia kesihatan dan pembayar.
Sementara itu, Anwar berkata pelaksanaan inisiatif RESET dipantau oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II dan Menteri Kesihatan dengan sesi pertama mesyuarat diadakan pada 24 Jun lalu.
"Jawatankuasa ini merangkumi sebuah majlis perundingan dianggotai pihak berkepentingan utama daripada industri penjagaan kesihatan swasta seperti wakil hospital swasta, ahli profesional kesihatan, penyedia insurans dan takaful, kumpulan pengguna dan ahli akademik, dengan input tambahan daripada lain-lain persatuan yang berkaitan apabila diperlukan," jelas beliau.
Comments