Kerajaan Selangor Telus Urus Projek Mitigasi Banjir


ULASAN: Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff membangkitkan isu kelemahan Dashboard Projek Mitigasi Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor yang pada hemat beliau gagal memaparkan tarikh-tarikh penting serta sebab kelewatan sesuatu projek mitigasi banjir di Negeri Selangor.
Beliau juga mempersoalkan kelewatan kemajuan pembangunan beberapa projek mitigasi banjir di Negeri Selangor, kelewatan ini pada beliau wajar diperjelaskan oleh Kerajaan Madani Selangor kepada rakyat sebagai bukti ketelusan dalam memerintah.
Dashboard mitigasi banjir hebah maklumat penting
Dashboard Projek Mitigasi Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor merupakan usaha Kerajaan Madani Selangor untuk menghebahkan status pelaksanaan projek mitigasi banjir di seluruh Selangor. Dashboard tersebut yang dilancarkan pada 12 Februari 2026 bukan sahaja mampu mengemaskini status perkembangan projek mitigasi banjir setiap bulan, ia juga memaparkan lokasi setiap projek mitigasi banjir secara atas talian berasaskan aplikasi GIS.
Tujuan utama dashboard ini dilancarkan adalah untuk dua tujuan tersebut (lokasi dan status projek mitigasi banjir), sudah pasti perincian projek tidak dinyatakan pada dashboard tersebut kerana ia telah dinyatakan dalam dokumen rasmi kerajaan Negeri Selangor seperti rekod Dewan Undangan Negeri Selangor dan dokumen JPS yang boleh diakses secara atas talian.
Dashboard ini hanya memaparkan maklumat penting yang dirasakan perlu dihebahkan secara ringkas kepada rakyat, sekiranya rakyat mahu maklumat lanjut maka lakukan pencarian lanjut secara atas talian. Tiada maksud Kerajaan Madani Selangor cuba melindungi mana-mana maklumat projek mitigasi banjir kepada rakyat Negeri Selangor.
Kelewatan projek mitigasi
Isu kelewatan setiap projek mitigasi banjir di Negeri Selangor juga telah diterangkan di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor semenjak 18 Februari 2025, malah jawapan tersebut boleh diakses secara atas talian. Kebanyakan punca kelewatan yang menimpa projek mitigasi banjir di Negeri Selangor adalah di luar kawalan Kerajaan Madani Selangor kerana ia melibatkan struktur binaan haram, prestasi kontraktor dan masalah pengambilan tanah.
Namun projek mitigasi banjir tersebut tetap berjalan, hanya sedikit perlahan akibat halangan di luar kawalan. Kelembapan ini telah diterangkan dan Kerajaan Madani Selangor dengan disertakan permohonan maaf secara terbuka di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, malah komitmen telah dinyatakan untuk menyelesaikan projek mitigasi banjir tersebut seperti yang dirancang.
Dr Yusfarizal Yussoff sepatutnya menghargai usaha inovatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Madani Selangor kerana tiada kerajaan lain di Malaysia yang telah memperkenalkan dashboard sedemikian rupa. Ketelusan Kerajaan Madani Selangor ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, sudah pasti ada kelemahan yang boleh ditambah baik memandangkan ia baru dilancarkan pada tahun 2026.
Platform kritikan salah
Seharusnya penambahbaikan tersebut disuarakan oleh ADUN-ADUN Pembangkang di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor. Kenyataan Dr Yusfarizal Yussoff boleh ditafsirkan sebagai cubaan mensensasikan isu bagi meraih sokongan politik, namun dari sudut menambahbaik khidmat kepada rakyat kritikan itu kurang bernilai kerana disuarakan pada platform yang salah.
Terakhir adalah kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengenai gangguan bekalan air dan kemenangan 32-0 di Terengganu yang dianggap oleh Dr Yusfarizal Yussoff sebagai tidak menghormati keputusan pengundi. Dr Yusfarizal Yussoff sekali lagi cuba bermain politik dengan memutar kenyataan tersebut.
Perkara penting yang cuba dibangkitkan oleh Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan tersebut adalah kecekapan pengurusan isu air di Negeri Selangor yang mampu diselesaikan dalam masa yang singkat, malah gangguan bekalan air di Negeri Selangor adalah secara berjadual.
Datuk Seri Amirudin Shari mahu rakyat kembali kepada Politik Nilai dan meninggalkan Politik Identiti yang selama ini dimainkan oleh Pas. Hasil Politik Nilai dapat dilihat melalui kesejahteraaan yang dinikmati oleh rakyat Negeri Selangor, hasil Politik Identiti pula dapat dilihat melalui kesengsaraan berbulan-bulan gangguan air yang dihadapi oleh rakyat Negeri Terengganu.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Negeri Selangor Darul Ehsan




Comments