top of page

Kerajaan Selangor junjung titah utamakan kesejahteraan rakyat

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
20 minutes ago
1 min read
DS Amiruddin bersama Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin. Kanan sekali isteri MB, Datin Seri Masdiana Muhamad
DS Amiruddin bersama Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin. Kanan sekali isteri MB, Datin Seri Masdiana Muhamad

Kerajaan Selangor menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar pentadbiran negeri terus mengutamakan kepentingan rakyat di negeri itu.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, titah Baginda bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor bahawa kemajuan sebenar perlu diukur melalui kesejahteraan seluruh rakyat akan dijadikan pedoman dalam melaksanakan amanah.


"Titah DYMM Tuanku Sultan akan patik bersama seluruh barisan pentadbiran Kerajaan Negeri semat erat di sanubari kami.


"Keprihatinan Tuanku menjadi inspirasi untuk kami terus meningkatkan perkhidmatan pentadbiran dan melaksanakan amanah dengan jujur, adil serta berintegriti, berpaksikan kepentingan rakyat dan masa depan Selangor," katanya menerusi perkongsian di Facebook.


Terdahulu dalam titahnya, Sultan Sharafuddin berpesan kepada Kerajaan Negeri agar berusaha keras bagi mencapai kejayaan dan kemajuan dalam semua bidang.


Rakyat menurut Baginda sepatutnya sentiasa mendapat pembelaan dari aspek tahap pendidikan yang baik, rumah mampu dimiliki, peluang pekerjaan luas serta dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan sihat.


"Beta mahu melihat Selangor menjadi sebuah negeri yang terus maju, berdaya saing, tahap pemodenan tinggi, rakyat berilmu dan cemerlang. Pada masa sama tetap menjaga nilai agama, adab dan kemanusiaan," titah Sultan Sharafuddin.


Menerusi hantarannya, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut menjunjung titah supaya kesucian agama Islam terus dipelihara dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama diperkukuh.


Beliau turut merafakkan doa agar Allah SWT melanjutkan usia Baginda dalam keadaan sihat, sejahtera dan dikurniakan keafiatan untuk terus memayungi negeri serta seluruh rakyat Selangor Darul Ehsan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page