top of page

Kerajaan Selangor bentang pelan pembangunan RS-2, Ogos ini

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 26
  • 1 min read
MB Amirudin dalam bertemu wartawan di Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery. Foto: FB Amirudin
MB Amirudin dalam bertemu wartawan di Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery. Foto: FB Amirudin

Kerajaan Negeri Selangor dijangka akan membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Ogos ini.


Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari berkata, segala persiapan berkaitan pembentangan pelan pembangunan tersebut sudah dimuktamadkan dan pihaknya kini sedang menunggu notis serta pengesahan jadual persidangan.


"Kita akan membentangkannya pada Ogos sempena sidang kedua DNS yang telah dimuktamadkan bersama jadual persidangan dewan," katanya dipetik laporan media tempatan.


Amirudin sebelumnya hadir ke majlis topping-out Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery di Lembah Beringin pada Khamis.


RS-2 merupakan kesinambungan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri pada 2022 sebagai pelan pembangunan lima tahun negeri bagi memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh kelestarian alam sekitar.


Menurut Amirudin, RS-2 bakal menggunakan pendekatan hibrid yang menggabungkan program dan projek Kerajaan Negeri dengan inisiatif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pemain industri swasta bagi menyelaraskan perancangan pembangunan negeri,


"Pelan ini akan menggabungkan inisiatif pembangunan sektor awam dan swasta bagi menyokong agenda pertumbuhan masa depan Selangor," tambahnya.


Sementara itu, sebagai mengulas kehadirannya ke majlis tersebut Amirudin berkata, ia menandakan siapnya kerja pemasangan bumbung bagi fasa pertama taman perindustrian berkenaan, yang mula dibina kira-kira tujuh bulan lalu.


Pelaburan melebihi RM2 bilion oleh syarikat automotif China itu dijangka mengukuhkan kedudukan Hulu Selangor sebagai hab pembuatan automotif, selain mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.


Taman perindustrian automotif yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029 itu bakal menjadi ekosistem pembuatan automotif berskala besar sekaligus menjadi antara pusat operasi utama Chery di rantau ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page