Kerajaan Selangor agih bantuan kepada 89 penternak di Sabak Bernam
- Azuan Ab Rahman

- 36 minutes ago
- 1 min read

Seramai 89 penternak dan pengusaha akuakultur di Sabak Bernam menerima Bantuan Daya Tahan 2026 daripada Kerajaan Negeri Selangor.
Exco Pertanian Datuk Ir Izham Hashim berkata bantuan mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap cabaran dihadapi pengusaha sektor pertanian dan agromakanan, khususnya dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global.
"Seramai 89 penerima dalam daerah Sabak Bernam menerima insentif ini bagi membantu meringankan kos makanan ternakan dan akuakultur, sekali gus memastikan aktiviti pengeluaran terus berdaya tahan," katanya.
Sumbangan bantuan membabitkan kategori Insentif Makanan Ternakan dan Insentif Makanan Akuakultur tersebut diserahkan dalam satu acara di Sungai Nibong, Sabak Bernam minggu lalu.
Pada April lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan Fasa Pertama Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negeri.
Di bawah pakej tersebut, kerajaan negeri turut mengagihkan baucar Kita Selangor bernilai RM100 kepada 50,000 isi rumah selama enam bulan, selain menyediakan makanan percuma kepada pelajar di 873 sekolah seluruh Selangor bermula Ogos ini.
Dalam pada itu, Izham turut menyatakan komitmen Kerajaan Negeri terus memperkukuh sokongan kepada golongan pengusaha sektor pertanian dan agromakanan supaya mereka dapat meningkatkan keupayaan operasi dan pengeluaran.
"Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh sokongan supaya mereka dapat terus beroperasi dengan lebih baik, meningkatkan pengeluaran serta bersama-sama memperkukuh keterjaminan makanan Negeri Selangor," katanya.




Comments