Kerajaan sedia pinda Akta Anti Lompat Parti, tutup kelemahan - PM
- Suara Keadilan

- Jul 13, 2024
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersedia melakukan perbincangan bagi meminda Akta Anti Lompat Parti 2022 untuk menutup sebarang kelompongan membabitkan kedudukan seseorang Ahli Parlimen yang mengalihkan sokongannya.
Perdana Menteri (PM) berkata sekiranya parti pembangkang mahu pindaan dilakukan ke atas akta itu, kerajaan tidak mempunyai halangan untuk melakukan perbincangan dengan mereka.
"Jika mereka (pembangkang) mahu meminda, kita boleh bincang. Ia boleh dipinda. Mari berbincang dengan tertib," katanya kepada pemberita di Putrajaya semalam.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata pihaknya pernah mengusulkan supaya mana-mana wakil rakyat yang dipecat atau dibuang daripada parti mesti mengosongkan kerusi mereka tetapi ia dibantah oleh pihak kerajaan yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu.
"Sebab dia masa tu orang UMNO masuk parti dia, jadi bagi saya kalau nak pinda boleh, kita bincang supaya siapa sahaja (tidak terkecuali).
"Dahulu dia (pembangkang) menentang, ramai tak tahu," katanya dipetik.
Selasa lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan enam Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.
Menurutnya, keputusan yang berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan itu dibuat untuk memastikan kestabilan politik.
Muhyiddin menjadi PM dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.
Gesaan untuk meminda undang-undang anti-lompat parti kembali dibangkitkan selepas Speaker Dewan Rakyat mengisytiharkan tiada kekosongan di enam kerusi parlimen yang disandang enam Ahli Parlimen yang dipecat daripada Bersatu kerana menyokong Anwar.
Sebelum ini Suara Keadilan melaporkan, bekas Yang Dipertua Dewan Negara berharap pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan Akta Anti Lompat Parti dilakukan semula sebagai langkah mengatasi kelompangan pada undang-undang tersebut.
Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah itu penting bagi memastikan kestabilan politik negara pada masa akan datang ekoran perbuatan Ahli Parlimen Bebas memindahkan sokongan.
Beliau turut mengakui menyedari daripada awal rang undang-undang pindaan tersebut (anti lompat parti) dibawa ke Dewan Rakyat, ia sudah mempunyai kelemahan dan kurang berkesan menangani perbuatan lompat parti atau pindah sokongan.
"Rang undang-undang diluluskan di Parlimen itu adalah satu kompromi untuk mendapatkan sokongan di Dewan Rakyat pada 2022 dan dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Ada dua tiga perkara yang kita sepatutnya masuk tidak dimasukkan kerana bantahan beberapa pihak yang ada dalam kerajaan (ketika itu PN) sebagai kompromi," katanya.
Akta Anti Lompat Parti diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 melalui pindaan Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Semasa undi belah bahagi yang diumumkan, seramai 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong dan 11 lagi tidak hadir.
Pembentangan RUU itu adalah salah satu syarat utama memorandum persefahaman antara Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan PH.









Comments